'Bersama sedia terima kembali Nik Nazmi selepas tamat cuti' – Syukri

Haizir (kiri) dan Syukri (kanan) ketika program Interviu bertajuk 'Kisah Bersama Tak Menang Pilihan Raya' di Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.
Haizir (kiri) dan Syukri (kanan) ketika program Interviu bertajuk 'Kisah Bersama Tak Menang Pilihan Raya' di Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bersama Malaysia (Bersama) bersedia menerima kembali salah seorang pemimpin utamanya, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk meneruskan khidmat selepas tempoh cutinya berakhir pada Januari tahun depan.

Presidennya, Syukri Razab berkata, keputusan merehatkan Nik Nazmi bukan sahaja bagi memberi ruang kepada beliau menyelesaikan urusan peribadi, malah mengambil kira keresahan dalam kalangan ahli parti.

Menurutnya, Bersama memandang serius kebimbangan disuarakan ahli dan tidak boleh berdiam diri meskipun perkara yang membabitkan pemimpin itu bersifat peribadi.

"Nik Nazmi, kita berikan cuti kepada beliau (dan menjadi) hak beliau juga untuk menyelesaikan perkara yang perlu diselesaikan dalam tempoh tersebut, (selain) kita akan memantau perkembangannya.

"Walaupun (perkara) itu (bersifat) isu peribadi dan membabitkan hal dalaman yang tertutup, tetapi apabila menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli, parti tidak boleh berdiam diri atau menyembunyikannya," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Interviu bertajuk 'Kisah Bersama Tak Menang Pilihan Raya' yang dihoskan moderator, Haizir Othman di Studio F Sinar Harian, Kompleks Karangkraf di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Bersama mengambil keputusan merehatkan Nik Nazmi daripada menyertai semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan berkuat kuasa 20 Oktober hingga 19 Januari 2027.

Syukri mengakui keputusan itu turut memberi kesan kepada gerak kerja parti termasuk menyebabkan beberapa program di Melaka terpaksa digerakkan oleh pemimpin lain.

Bagaimanapun, katanya, langkah tersebut perlu diambil bagi membuktikan kesungguhan Bersama dalam menjaga integriti kepimpinannya.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan kita cutikan itu menyebabkan Rafizi berceramah seorang diri di Melaka, malah berceramah di tiga tempat dan apakah itu menguntungkan kita? Tidak, ia merugikan parti.

"Jadi, kos kita memberi cuti kepada Nik Nazmi itu besar untuk parti, tetapi perkara itu terpaksa kita telan dan lalui, selain yakin selepas tamat tempoh cuti itu, kita akan mengalu-alukan semula beliau untuk berkhidmat," tambah beliau.

Syukri turut menegaskan perjuangan Bersama lebih besar daripada isu itu dan parti tidak mahu perkara tersebut menjejaskan matlamat jangka panjangnya dalam menawarkan alternatif politik kepada rakyat.

Dalam pada itu, Syukri memberi bayangan lebih ramai tokoh politik berpotensi menyertai Bersama khususnya selepas Parlimen dibubarkan dan mereka tidak lagi memegang jawatan sebagai ahli Parlimen atau menteri.

Menurutnya, terdapat individu daripada parti lain yang dilihat cenderung kepada Bersama, namun masih mempunyai pertimbangan tertentu untuk kekal bersama parti masing-masing.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mana-mana tokoh yang berhasrat menyertai Bersama supaya memahami bahawa dinamika parti itu mungkin berbeza berbanding ketika awal penubuhannya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!