Kes dadah guna aset TUDM: Polis dijangka buat beberapa lagi tangkapan

KUALA LUMPUR - Siasatan kes penyeludupan dadah yang membabitkan penggunaan aset ketenteraan negara masih diteruskan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka melakukan beberapa lagi tangkapan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
"Siasatan belum terhenti dan kita akan ada lagi (tangkapan)," katanya pada sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AIESE27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan taklimat terkini oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, sebanyak 13 individu telah ditahan setakat ini, yang terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.
Saifuddin Nasution berkata, beliau juga dijadual menjawab soalan berkaitan isu berkenaan di Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Khamis ini.
Sindiket penyeludupan dadah itu terbongkar dengan penemuan 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia ketika pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.
Sementara itu, Saifuddin Nasution menyifatkan usaha menerapkan integriti dalam kalangan penguat kuasa membuahkan hasil susulan penahanan seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) semalam.
"Kita jangan ingat seruan berterusan (mengenai integriti) masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ini suatu contoh bagaimana anggota kita menghayati nasihat dan seruan kita,” katanya.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu berusia 40-an susulan aduan seorang pegawai wanita berhubung dakwaan salah laku membabitkan pegawai atasannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
