Suami isteri maut motosikal kemalangan dalam perjalanan pulang dari Thailand

Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki terbabas sebelum dilanggar sebuah MPV. Foto: Bomba
Suami isteri maut apabila motosikal dinaiki terbabas sebelum dilanggar sebuah MPV. Foto: Bomba
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan di Kilometer 102.9 Lebuhraya Utara Selatan apabila motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di sini pada Isnin.

Yeong Hon Min, 75, dan isterinya dilaporkan dari Selangor, sedang dalam perjalanan pulang dari Thailand sebelum terbabit kemalangan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 3.30 petang.

"Apabila tiba mendapati seorang mangsa tercampak ke atas jalan manakala seorang lagi terperosok di bawah kenderaan," katanya.

Kata kenyataan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian manakala pemandu MPV tidak mengalami kecederaan.

"Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperosok sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi terkawal pada jam 4.12 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.16 petang selepas kerja pembersihan serta pemeriksaan keselamatan selesai dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati, motosikal dinaiki mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum dilanggar MPV yang datang dari arah sama ketika sedang dalam perjalanan menghala ke selatan.

"Kita meminta saksi atau yang memiliki rakaman papan pemuka diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!