PKR yakin pertahan lima kerusi tradisi DUN Kedah

Mohd Rafizi
Mohd Rafizi
A
A
A

SUNGAI PETANI - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) yakin mampu mempertahankan lima kerusi tradisi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah berdasarkan rekod baik sejak 2008.

Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, antara kerusi tersebut ialah DUN Sidam, Bakar Arang, Bukit Selambau, Lunas dan Kulim.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata, biarpun pada dasarnya terdapat tsunami dan pergolakan politik, namun kerusi tradisi tersebut boleh dilihat masih memihak kepada PKR dan PH.

Mohd Rafizi (tengah) hadir ke Konvensyen PKR Kedah dan Pulau Pinang di Sungai Petani pada Sabtu.
Mohd Rafizi (tengah) hadir ke Konvensyen PKR Kedah dan Pulau Pinang di Sungai Petani pada Sabtu.

"Jadi ini adalah asas kerusi paling sesuai untuk kita pertahankan," katanya semasa menghadiri Konvensyen PKR Kedah dan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Jelasnya, biarpun ia merupakan kerusi tradisi namun parti tidak boleh ambil ringan memandangkan situasi politik di Kedah melihat peralihan undi Melayu memihak kepada satu parti sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Tetap mempunyai risiko... sebab yang mana negeri Kedah sahaja bertukar undi Melayu itu sehingga 70 hingga 80 peratus berasaskan perkauman semata-mata... negeri lain tak macam tu termasuk Pulau Pinang.

"Tetapi untuk kita melihat dan merancang pilihan raya ini dengan lebih realistik, kita juga kena tahu kekuatan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH menang 18 kerusi DUN termasuk lima kerusi tradisi manakala Pas menang 15 kerusi dan UMNO/BN menang tiga kerusi pada 2018.

Namun pada Disember 2018, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak) yang keluar UMNO sebelum itu telah mengumumkan menyertai Bersatu menjadikan sokongan PH bertambah kepada 19 kerusi, diikuti Pas 15 kerusi dan BN tinggal dua kerusi.

Bagaimanapun pada 2020, pergolakan politik negara menyebabkan berlaku perubahan kerajaan di mana terhasil kerjasama Bersatu, Pas, BN dan sebahagian PKR serta lain-lain membentuk Perikatan Nasional (PN) yang turut membawa kesan perubahan di beberapa buah negeri.

Pada Mei 2020, dua ADUN PKR di Kedah iaitu Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Datuk Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan itu menyebabkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang sokongan sekali gus membolehkan Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dan mengisytiharkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai menteri besar yang kekal sehingga kini.