PRN: PH yakin menang 50 kerusi DUN Selangor

Mohd Yahya (berdiri, kanan) beramah mesra pada Majlis Mesra Aidilfitri DUN Permatang di pekarangan Pusat Khidmat ADUN Permatang pada Sabtu.
Mohd Yahya (berdiri, kanan) beramah mesra pada Majlis Mesra Aidilfitri DUN Permatang di pekarangan Pusat Khidmat ADUN Permatang pada Sabtu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Pakatan Harapan (PH) Selangor yakin mampu memenangi sekurang-kurangnya 50 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, situasi itu berdasarkan kepada kesepakatan dalam kalangan kepimpinan PH dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Menurutnya, jika pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) PH mampu memenangi 42 kerusi, namun kali ini PH mampu menang besar di Selangor seterusnya mengekalkan tampuk pemerintahan selama empat penggal berturut-turut.

"Dulu (PRU14) kita tewas kerana tidak mendapat sokongan rakyat lebih-lebih lagi di kawasan kubu kuat BN.

"Sekarang ini, apabila PH dan BN dalam satu pasukan, kita yakin mampu untuk menang di lebih banyak kerusi bukan sahaja di bandar malah di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Mesra Aidilfitri DUN Permatang di pekarangan Pusat Khidmat ADUN Permatang di sini pada Sabtu.

Mohd Yahya yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR memberitahu, sekiranya diukur pada PRU15 lalu pula, PH dan BN mendapat kepercayaan rakyat.

"Politik ini bukanlah perkiraannya seperti matematik, tetapi apabila bilangan undi Parlimen dipecahkan kepada DUN, maksudnya gabungan PH dan BN mendominasi dan memenangi semua kerusi DUN Selangor yang dipecahkan pada PRU15 lalu," ujar beliau.

Jelasnya, meskipun Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi pada PRU15 lalu, namun pada waktu itu undi parti politik berpecah kepada tiga.

"PRU15 menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, PN dan BN dan setelah pembentukan Kerajaan Perpaduan maka kita bertambah kuat dan sokongan Melayu juga makin bertambah," kata beliau.

Selain itu, katanya, sokongan pengundi Melayu juga semakin bertambah menerusi kaji selidik dijalankan PH.

"Sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu menyokong PH dan ini memberi gambaran awal bahawa kita semakin kuat dan mampu mengekalkan kerajaan," ujar beliau.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, PN menyasarkan memenangi 33 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRN yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada tahun ini.

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sekiranya sasaran itu dicapai, gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu membentuk kerajaan baharu di negeri ini.