Pengerusi PN baharu ditentukan Ahad ini - Takiyuddin

Takiyuddin (duduk, tiga dari kanan) mengunjungi kediaman Poh Choon sempena sambutan Tahun Baharu Cina Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Takiyuddin (duduk, tiga dari kanan) mengunjungi kediaman Poh Choon sempena sambutan Tahun Baharu Cina Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bakal ditentukan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan itu yang dijadual berlangsung Ahad ini.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat khas berkenaan sudah ditetapkan pada 22 Februari ini, jam 3 petang di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut diadakan khusus bagi membincangkan dua agenda utama termasuk meluluskan peletakan jawatan Pengerusi PN oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini serta melantik pengerusi baharu bagi menerajui gabungan berkenaan.

“Mesyuarat ini adalah mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN.

“Agenda yang dinyatakan dalam surat panggilan hanyalah dua perkara iaitu menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Pengerusi PN dan melantik Pengerusi PN yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Presiden Gabungan Pertubuhan Tionghwa, Datuk Oie Poh Choon di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut perlembagaan PN, apabila jawatan pengerusi kosong, mesyuarat perlu melantik salah seorang daripada Timbalan Pengerusi untuk mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Katanya, ketika ini PN mempunyai tiga Timbalan Pengerusi dan pemilihan pengerusi mesyuarat akan diputuskan mengikut ketetapan perlembagaan gabungan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa mesyuarat luar biasa boleh diadakan apabila sekurang-kurangnya separuh daripada parti anggota bersetuju untuk memanggilnya.

Artikel Berkaitan:

“Dalam PN ada empat parti anggota. Apabila sekurang-kurangnya dua parti bersetuju, maka mesyuarat itu perlu diadakan.

“Setakat ini, persetujuan diperoleh untuk memanggil mesyuarat luar biasa tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sebelum itu, Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat pada jam 11 pagi hari sama, sebelum disusuli Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada sebelah petang.

Ditanya sama ada isu Ketua Pembangkang turut akan dibincangkan, beliau berkata perkara tersebut tidak termasuk dalam agenda rasmi mesyuarat berkenaan.

“Setakat surat panggilan yang dikeluarkan, hanya dua agenda itu sahaja.

“Soal Ketua Pembangkang adalah perkara lain dan mungkin dibincangkan dalam mesyuarat berasingan,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional bakal ditentukan dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi
  • Mesyuarat dijadual pada 22 Februari, jam 3 petang di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur
  • Mesyuarat untuk meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melantik pengerusi baharu
  • Salah seorang dari tiga Timbalan Pengerusi akan mempengerusikan mesyuarat mengikut perlembagaan PN
  • Mesyuarat luar biasa boleh diadakan dengan persetujuan sekurang-kurangnya dua dari empat parti anggota PN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!