Kenyataan jelik: Polis rekod keterangan penghantar makanan

Mohamad Fakhrudin
Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Polis telah merekod keterangan seorang penghantar makanan untuk siasatan dakwaan mengeluarkan kenyataan jelik terhadap seorang wanita di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan lelaki itu diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Khamis.

"Lelaki itu telah hadir ke IPD Petaling Jaya semalam (Khamis).

"Keterangannya diambil oleh pegawai penyiasat kes di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ).

"Siasatan sedang dijalankan untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum itu dalam satu video tular di Facebook, lelaki terbabit seorang pekerja penghantar makanan sebuah aplikasi dalam talian mengaku berkata 'Kalau kat Thailand ini perempuan sedap' ketika disoal oleh seorang lelaki dipercayai teman lelaki mangsa.

Polis kemudian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun pada jam 11.12 pagi Ahad.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Glomac Centro Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor pada 8 Januari jam 10.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.