Desakan henti penjualan arak terbuka tidak relevan

Tiong King Sing
Tiong King Sing
A
A
A

PUTRAJAYA - Desakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohd Jan agar pusat membeli-belah di Seberang Jaya menghentikan penjualan arak secara terbuka adalah satu tindakan yang tidak relevan.

Tegas Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Tiong King Sing, sebagai ahli Parlimen, Muhammad Fawwaz sepatutnya lebih memahami bahawa Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan agama.

"Beliau tidak sepatutnya memperbesarkan isu yang berkaitan dengan agama dan tidak seharusnya mentadbir negara hanya dengan memberi keutamaan kepada satu agama atau kaum tertentu sahaja," katanya sambil menambah isu tersebut merupakan suatu yang sangat sensitif.

Menurut King Sing, dalam keadaan dunia semakin pantas menuju era tamadun digital untuk kesejahteraan rakyat merangkumi ekonomi, politik, kebudayaan dan sosial, masih wujud segelintir pihak yang mahu negara dilihat seolah mundur ke belakang.

"Pelbagai perkara atau isu sensitif yang timbul di dalam negara ini sering kali ditiup oleh segelintir kumpulan ekstremis yang melakukan sesuatu demi kepentingan peribadi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, desakan itu merupakan satu fenomena yang tidak sihat.

"Ia bukan sahaja akan mengakibatkan negara kita dilihat jumud (kolot) dan tidak mampu untuk menuju kemajuan, malah ia turut menjejaskan industri pelancongan negara," katanya lagi.

King Sing berkata, kehidupan harmoni rakyat selama berpuluh tahun tidak boleh dimusnahkan dengan sekelip mata hanya kerana tindakan buta tuli.

Artikel Berkaitan:

"Jika setiap isu yang timbul dikaitkan dengan agama dan kaum, pastinya ia akan membawa tekanan kepada pelbagai sektor industri dan turut menjejaskan tarikan pelancong bukan Islam ke dalam negara ini.

"Tidak mustahil pelancong akan menganggap kita sebagai negara ekstrem jika kita terus berkelakuan seperti ini.

"Jika ini berterusan, mereka tidak akan dapat mengalami 'first impression' yang baik terhadap Malaysia, pelancong tidak akan gembira dengan pengalaman berada di sini dan memilih untuk pergi ke negara lain sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Muhammad Fawwaz pada Khamis menafikan dakwaan kononnya melarang penjualan arak di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Sebaliknya kata beliau, pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut diminta supaya menjual di kawasan khas yang lebih tertutup berbanding dijual secara terbuka dan boleh dilihat semua pengunjung termasuk orang Islam.