'Saya bukan halang penjualan arak' - Muhammad Fawwaz

Muhammad Fawwaz (dua dari kanan) mengadakan pertemuan dengan pengurusan sebuah pusat beli-belah bagi membincangkan isu penjualan arak secara terbuka pada Isnin lalu.
Muhammad Fawwaz (dua dari kanan) mengadakan pertemuan dengan pengurusan sebuah pusat beli-belah bagi membincangkan isu penjualan arak secara terbuka pada Isnin lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan menafikan dakwaan kononnya beliau melarang penjualan arak di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Kata ahli Pas itu, beliau hanya memohon pengurusan pusat beli-belah tersebut supaya menjual di kawasan khas yang lebih tertutup berbanding dijual secara terbuka dan boleh dilihat semua pengunjung termasuk orang Islam.

Menurutnya, beliau memahami budaya masyarakat majmuk yang diamalkan rakyat di negara ini, penjualan arak di situ adalah satu promosi yang diadakan sempena Tahun Baharu Cina.

"Saya menerima aduan orang awam yang tidak senang dengan penjualan arak secara terbuka di pusat beli-belah tersebut. Sebagai wakil rakyat yang diberi mandat dalam piihan raya lalu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk melihat perkara diadukan itu.

"Bukannya saya atau pasukan pergi meninjau penjualan arak di situ. Saya hanya mengambil tanggungjawab tersebut untuk berbincang dengan pihak pengurusan pusat beli-belah agar penjualan arak itu dilakukan di kawasan khas (bahagian tidak halal) yang disediakan di premis berkenaan.

"Saya bukan halang penjualan (arak) kerana faham ia satu perniagaan dan khusus untuk orang bukan Islam yang akan merayakan Tahun Baharu Cina nanti. Bagaimanapun, walau pun ia bersifat sementara, ada pihak yang tidak senang apabila ia dijual secara terbuka di situ, itu sahaja," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Jelas beliau lagi, pertemuan yang dihadirinya pada 9 Januari lalu adalah di atas jemputan diterima daripada pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan.

"Apabila menerima aduan awam, saya pun hubungi pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut untuk maklumkan aduan. Selepas itu, pihak pengurusan tersebut telah menjemput saya untuk berbincang, sebab itu saya pergi ke pusat beli-belah itu

Artikel Berkaitan:

"Apabila dah dijemput, saya hadir lah. Bukan saya pergi serbu," katanya.

Baru-baru ini, Muhammad Fawwaz berkunjung ke sebuah pusat beli-belah dan menyatakan bantahan terhadap penjualan arak secara terbuka di situ.

Muhammad Fawwaz
Muhammad Fawwaz

Tindakan pengurusan pusat beli-belah membenarkan promosi sedemikian disifatkannya sebagai tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Difahamkan, promosi jualan minuman keras itu diadakan sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan pengurusan pusat beli-belah tersebut, Muhammad Fawwaz berkata, ia berjalan lancar, pihak pengurusan akur bahawa promosi tersebut harus dibuat dengan lebih tertutup.

"Kita bukan minta penjualan arak itu dihentikan pun, kita minta ia dijual di bahagian lebih tertutup. Kita faham penjualan arak untuk bukan Muslim, ada ruang yang disediakan (untuk penjualan), itu tiada masalah. Jika penjualan terbuka dibuat di tempat yang memang tiada orang Muslim, pun tiada masalah.

"Itu sahaja. Tiada masalah pun, cuma apabila tersalah lapor oleh beberapa media yang mengatakan saya menghalang penjualan arak, itu yang jadi keliru dalam kalangan rakyat. Kita pun faham sensitiviti isu ini, sebab itu kita hanya pergi berbincang sahaja (dengan pengurusan pusat beli-belah tersebut)," katanya.

Pada Rabu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau meminta isu promosi penjualan arak sempena perayaan Tahun Baharu Cina itu tidak terus dipolitikkan.

Katanya, Gerakan telah mendapat penjelasan yang disifatkan adil daripada Muhammad Fawwaz berhubung tindakannya membantah promosi tersebut.

Dominic berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan yang majoritinya orang Melayu dan Islam, tindakan Muhammad Fawwaz adalah wajar.