Kondominium jadi stor simpan dadah, tiga pengedar ditahan

Pelbagai jenis dadah bernilai RM154,000 berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan Selasa lalu. Foto PDRM
Pelbagai jenis dadah bernilai RM154,000 berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan Selasa lalu. Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM154,00 dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Acacia yang dijalankan di sekitar ibu negara di sini pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak dua bulan lalu dan menjadikan kondominium yang berpengawal keselamatan sebagai stor simpanan dadah bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

"Serbuan pertama di sebuah kondominium di Taman Desa, Kuala Lumpur berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 18 tahun.

"Pasukan serbuan merampas dadah jenis heroin seberat 3.6 kilogram (kg) dan pil erimin 5 sebanyak 5,020 biji dalam serbuan di kondominium berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azmi berkata, susulan itu, polis berjaya menahan seorang lagi anggota sindiket iaitu lelaki tempatan berusia 39 tahun bersama dadah jenis syabu seberat satu kg dalam serbuan kedua di kawasan parkir di sekitar Jalan Imbi.

"Bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

"Soal siasat mendapati, kesemua suspek tidak memiliki pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama," ujarnya.

Beliau berkata, pasukan serbuan turut merampas beberapa barang kes termasuk sebuah kereta jenis Mercedes C180 Executive SE, dan Toyota Camry, sebentuk cincin emas, serta wang Tunai RM1,200.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kejayaan ini adalah hasil siasatan dan risikan rapi JSJN IPK Kuala Lumpur dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran dadah di Kuala Lumpur.

"JSJN Kuala Lumpur meminta kerjasama orang awam dalam menyalurkan sebarang maklumat aktiviti atau kegiatan penyalahgunaan dadah melalui aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam)," jelasnya.