Siti Bainun beri keterangan Isnin ini

Siti Bainun akan memberi keterangan dalam prosiding bela diri kes atas pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella, di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin depan.
Siti Bainun akan memberi keterangan dalam prosiding bela diri kes atas pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella, di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali akan memberi keterangan dalam prosiding bela diri kes atas pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella, di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin depan.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun untuk menyemak semula dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Semasa memutuskan demikian, Sequerah berkata, mahkamah membenarkan bantahan daripada pendakwaan selaku responden.

“Notis usul yang dikemukakan pemohon (Siti Bainun) pula, ditolak," katanya.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tarikh perbicaraan bela diri terbabit Siti Bainun ditetapkan selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

Mahkamah Tinggi mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada 4 Januari lalu manakala Siti Bainun memfailkan semakan pada 30 November 2022.

Dalam kes ini, Siti Bainun, 31, diwakili peguam, PG Cyril dan Nur A'minahtul Mardiah Md Nor manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas

Semasa prosiding terdahulu, Cyril menghujahkan bahawa, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menerima permohonan semakan itu atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak memperincikan cara semakan itu, perlu dibuat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad membantah permohonan semakan dan penangguhan prosiding itu dengan alasan-alasan yang dinyatakan dalam hujahan bertulis dan afidavit yang telah difailkan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, mahkamah dimaklumkan seramai 15 saksi (tidak termasuk saksi pendakwaan ke-20) akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Berhubung permohonan pihak pembelaan untuk memanggil tiga saksi pendakwaan yang pernah memberi keterangan, mahkamah hanya membenarkan seorang sahaja yang hadir.

“Beliau ialah saksi pendakwaan ke-20 (SP-20), Pegawai Penyiasat bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Asisten Superintendan Rohaini Baharom,” katanya.

Dua lagi saksi katanya, SP-5, bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood, 20, dan SP-15, pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur, tidak dibenarkan.

Zilfinaz kemudiannya, mengesahkan sudah menerima salinan pernyataan saksi oleh Siti Bainun.

“Namun, saya membantah pernyataan tambahan yang diserahkan kepada pendakwaan dua hari lalu.

“Ia berikutan dimaklumkan melebihi tempoh 14 hari sekali gus tidak mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Pada 24 November tahun lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

Dia dijadual memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dengan pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.