Banjir: Kuskop peruntuk RM2 juta baiki premis bantu ahli

Saraswathy (tengah) bertanya khabar dan menyampaikam sumbangan kepada Aminah di kediamannya di Kampung Dalam Rhu pada Jumaat.
Saraswathy (tengah) bertanya khabar dan menyampaikam sumbangan kepada Aminah di kediamannya di Kampung Dalam Rhu pada Jumaat.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi membantu ahlinya yang terjejas banjir di seluruh negara tahun lalu.

Timbalan Menterinya, K Saraswathy berkata, Tabung Khas Bencana itu juga akan dibelanjakan untuk membaiki premis yang rosak akibat bencana itu.

"Kita sedang merekodkan jumlah keseluruhan ahli dan premis yang terjejas sebelum bantuan secara 'one off ' diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga pesakit parkinson yang juga mangsa banjir, Aminah Deraman, 62, di Kampung Dalam Rhu pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zainudin Mohamad.

Bagaimanapun Saraswathy memberitahu, tarikh bantuan belum dapat dimaklumkan kerana pihaknya dalam proses mengumpul keseluruhan data mangsa dan jumlah kerugian.

Sehingga kini, kira-kira 15,000 koperasi berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia melibatkan lebih tujuh juta ahli.

Kakitangan Kuskop dan SKM bergambar bersama Saraswathy sebelum berlepas ke rumah mangsa banjir sempena Program Bantuan Pasca Banjir Bersama Kuskop dan SKM.
Kakitangan Kuskop dan SKM bergambar bersama Saraswathy sebelum berlepas ke rumah mangsa banjir sempena Program Bantuan Pasca Banjir Bersama Kuskop dan SKM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sebanyak 600 rumah yang terjejas banjir di Pasir Puteh dan Kuala Besut menerima bantuan makanan melalui Program Bantuan Pasca Banjir Bersama Kuskop dan SKM.

Program sehari itu turut meninjau dari rumah ke rumah mangsa terlibat bencana itu Disember tahun lalu.

Menurutnya, nilai keseluruhan barangan yang dibelanjakan ialah RM155,000 melibatkan makanan dan keperluan harian.

"Pemilik rumah mengalami banyak kerugian dan kita berharap dapat membantu mengurangkan beban selepas berdepan kerosakan teruk barangan serta peralatan rumah," katanya.