PAU 2022: Zahid senarai 5 proses pemilihan calon PRU15

Ahmad Zahid - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ahmad Zahid - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyenaraikan lima langkah yang diambil dalam proses pemilihan calon dan gerak kerja Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bagi menjelaskan tohmahan yang dilontarkan ekoran kekalahan besar parti itu.

Menurutnya, kelima-lima proses itu melibatkan semua lapisan kepimpinan dalam parti dan bukan keputusannya semata-mata.

“Pertama, kesiapsiagaan gerak kerja dan jentera. Kedua, penyediaan dokumen dan akujanji calon. Ketiga, persiapan logistik dan kewangan. Keempat, proses pemilihan calon dan kelima, perbincangan dan perundingan dalaman serta dengan komponen Barisan Nasional.

“Bermula dengan Timbalan Presiden selaku Pengarah Pilihan Raya dan juga Pengerusi War Room, kita telah bergerak ke seluruh negara, melalui sesi libat urus dengan Perhubungan Negeri dan Bahagian-Bahagian.

“Selain menilai data-data yang ada, soal kesiapsiagaan juga diberikan penekanan. Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan.

“Maka dengan sebab itu, jangan kita nafikan usaha-usaha parti, dalam menghadapi pilihan raya umum, telah dibuat sebaik mungkin,” demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

Tambah Ahmad Zahid, taklimat Akta Anti Lompat Parti kepada Perhubungan Negeri dan keperluan menyediakan dokumen perjanjian calon dengan parti, di samping penyediaan akuan-akuan bersumpah juga diberikan.

Jelasnya, tujuan semua dokumen ini disediakan adalah untuk memperjelaskan bahawa kerusi yang dimenangi kelak pada pilihan raya adalah merupakan hak milik mutlak parti.

Artikel Berkaitan:

“Malah akujanji pula, memberikan kuasa kepada Ketua Utama Parti dan mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan. Proses pemilihan calon melibatkan Perhubungan Negeri melalui pengerusi-pengerusinya.

“Rundingan dalaman baik di peringkat Top Five, Biro Politik mahupun Majlis Kerja Tertinggi sentiasa berjalan. Semua proses ini memperlihatkan, keputusan-keputusan yang melibatkan soal pilihan raya telah melalui proses rundingan,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!