Palestin gesa masyarakat dunia bantu tahanan di penjara Israel

Tahanan di penjara Israel. Foto: Reuters
Tahanan di penjara Israel. Foto: Reuters
A
A
A

RAMALLAH - Penduduk Palestin menyambut hari tahanan kebangsaan pada Rabu dengan menzahirkan sokongan kepada rakyat negara itu yang ditahan di penjara-penjara Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Mereka menggesa agar sokongan antarabangsa diberikan kepada tahanan yang berdepan layanan buruk dan situasi pemenjaraan yang tidak berperikemanusiaan.

Kementerian Luar Palestin menggesa Pihak-Pihak Berkontrak Tinggi kepada empat konvensyen Geneva agar memikul tanggungjawab perundangan dan memenuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa dengan menyediakan perlindungan kepada rakyat Palestin, terutama kanak-kanak.

Kementerian itu juga menyeru agar langkah sewajarnya diambil terhadap Israel, sebagai kuasa yang menduduki, untuk memaksanya bertanggungjawab ke atas jenayah dan pencabulannya yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

Menurut statistik terkini yang dikeluarkan Kelab Tahanan Palestin (PPC), kini terdapat sejumlah 5,700 rakyat Palestin di penjara-penjara Israel, termasuk 250 kanak-kanak, 47 wanita dan 500 orang di bawah tahanan pentadbiran.

PPC menyatakan dalam laporan itu bahawa layanan buruk Israel terhadap tahanan rakyat Palestin adalah "serius dan pencabulan yang sistematik ke atas undang-undang antarabangsa," sambil menambah Israel mengabaikan perbicaraan adil yang selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia.

Ia menggesa komuniti antarabangsa agar "segera campur tangan bagi memenuhi kewajipan perundangan dan obligasi etikanya kepada Palestin serta memaksa Israel bertanggungjawab terhadap jenayah hariannya."

Ia berkata jumlah keseluruhan rakyat Palestin yang ditahan sejak 1967 telah mencecah sejuta orang sambil menambah bahawa "kecuaian perubatan sistematik" Israel terhadap banduan telah menyebabkan kematian 218 warga Palestin dalam tahanan sejak 1967.

Artikel Berkaitan:

Majlis Kebangsaan Palestin, yang dianggap sebagai parlimen Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), telah mengisytiharkan 17 April sebagai hari tahanan kebangsaan sejak 1974, hari yang menyatukan usaha bagi membantu perjuangan tahanan untuk mendapatkan kebebasan. -Bernama