Selangor catat lebihan pendapatan RM500 juta tahun lalu

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim (kanan) menyerahkan Buku Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kepada Amirudin (kiri) semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Rabu.
Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Haris Kasim (kanan) menyerahkan Buku Pelan Strategik Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor kepada Amirudin (kiri) semasa Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mencatatkan lebihan pendapatan sebanyak RM500 juta iaitu RM2.505 bilion berbanding sasaran RM2.05 bilion pada tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejayaan itu sekali gus membolehkan Selangor mencatat lebihan pendapatan sejak tiga tahun berturut-turut.

Menurutnya, meskipun berdepan dengan rintangan Covid-19, banjir besar 2021, tragedi tanah runtuh di Batang Kali Hulu Selangor dan cabaran ekonomi, namun kerajaan negeri terus bekerja satu pasukan untuk memacu ekonomi negeri dengan lebih baik dan tersusun.

"Tahniah kepada pentadbiran, pengurusan kerajaan dan penjawat awam di negeri Selangor yang telah bertungkus-lumus untuk bersama-sama memajukan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Rabu.

Amirudin berkata, beliau menerima laporan daripada Exco Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim yang menyatakan terdapat peningkatan pelaburan di negeri ini.

"Dalam tempoh tiga bulan sehingga Ogos tahun lalu mencatatkan kira-kira RM11 bilion hingga RM12 bilion, tetapi dalam tempoh September hingga November tahun lalu, saya dilaporkan pelaburan negeri mencecah RM25 bilion antara pencapaian terbaik dalam tempoh empat atau lima tahun kebelakangan ini," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, Selangor diharap mengekalkan momentum itu berterusan secara kompeten dan menjadi sebuah negeri tahan uji yang berkeupayaan menghasilkan program serta aktiviti yang bukan sahaja bermanfaat untuk rakyat di negeri ini tetapi menjadi contoh kepada negeri lain di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya berazam untuk menjadi seorang pemimpin yang merancakkan ekonomi, mempergiat aktiviti perniagaan serta pembangunan infrastruktur, memperhebat penyertaan rakyat dan sekali gus penciptaan nilai dalam ekonomi," katanya.