Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dilanjutkan

Saifuddin Nasution (kanan) dan Sivakumar pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution (kanan) dan Sivakumar pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berakhir pada 31 Disember lalu dilanjutkan bagi tempoh setahun berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu sebagai langkah untuk memenuhi keperluan tenaga kerja asing di negara ini.

"Program ini mampu menyediakan tenaga kerja pekerja asing yang sudah berada di Malaysia," katanya menerusi sidang akhbar selepas mesyuarat pengurusan pekerja asing di bangunan Perdana Putra yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Menurutnya, PATI hanya perlu tampil mendaftar, membuat bayaran tertentu dan seterusnya dibenarkan bekerja di negara ini.

"Mereka hanya dikenakan caj tertentu jika tidak memiliki dokumen lengkap, tinggal lebih masa dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, menerusi program tersebut, kerajaan memperoleh hasil RM700 juta pada tahun lalu.

"Perbezaan pada Pelan Rekalibrasi PATI 2.0 ini adalah penetapan syarat-syarat yang lebih fleksibel tanpa mengetepikan elemen keselamatan dalam negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, ia turut melibatkan sektor perkhidmatan khususnya pembantu rumah yang visa bekerjanya telah tamat tempoh.

“Kita menggesa kalau ada dalam kategori ini terutamanya pembantu rumah, mereka boleh buat permohonan lanjut," katanya.

Pelan Rekalibrasi PATI yang dilaksanakan sehingga 31 Disember tahun lepas menyaksikan seramai 418,649 orang menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan 295,425 orang bagi Program Rekalibrasi Pulang.