Moratorium Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih berkuat kuasa

Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh
A
A
A

PUTRAJAYA - Moratorium ke atas Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih lagi dikuatkuasakan meskipun proses pindaan tiga rang undang-undang (RUU) menyahjenayahkan cubaan bunuh diri di peringkat Parlimen telahpun selesai.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, ketiga-tiga RUU itu perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya diwartakan dalam Warta Kerajaan sebelum berkuat kuasa.

"Moratorium masih lagi berkuasa terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan tiada pendakwaan boleh dijalankan di bawah seksyen tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 yang antara lain, menyahjenayahkan cubaan bunuh diri di Malaysia telah diluluskan di Dewan Negara pada Selasa.

RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 yang antara lain memberikan kuasa kepada pegawai intervensi krisis (pegawai agensi-agensi di bawah sistem Malaysian Emergency Response Services – MERS 999) untuk menangkap (menyelamatkan) seseorang yang cuba bunuh diri pula telah diluluskan di Dewan Negara sehari kemudian.

"Dengan kelulusan ketiga-tiga RUU ini di Dewan Negara, proses pindaan undang-undang bagi menyahjenayahkan cubaan bunuh diri di peringkat Parlimen telah pun selesai," ujar beliau.

Dalam pada itu, Ramkarpal turut mengucap terima kasih kepada semua pihak termasuk ahli Parlimen yang telah memberikan sokongan dalam usaha mengubah pendekatan terhadap cubaan bunuh diri daripada yang bersifat punitif pada masa ini kepada suatu pendekatan yang berasaskan kepada rawatan perubatan.