Didik, beri kesedaran bahaya dadah bermula di sekolah

Hashim (duduk, kiri) bersama urusetia, guru-guru dan pelajar yang menjayakan program Hidup Penuh Erti, Masyarakat Bebas Dadah di SMK Simpang Renggam, Kluang pada Ahad
Hashim (duduk, kiri) bersama urusetia, guru-guru dan pelajar yang menjayakan program Hidup Penuh Erti, Masyarakat Bebas Dadah di SMK Simpang Renggam, Kluang pada Ahad
A
A
A
KLUANG - Pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati perlu dijadikan pegangan dan amalan dalam menangani permasalahan dadah di negara ini.

Oleh demikian, usaha membasmi penyalahgunaan dadah di peringkat awal perlu dilakukan di peringkat sekolah bagi melahirkan kesedaran.

Menyedari pentingnya hasrat murni itu, Persatuan Kasih Prihatin Malaysia Negeri Johor (Pekasih Johor) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menganjurkan program anti dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Renggam dekat sini pada Ahad.

Pengerusi Pekasih Johor, Jaafar Matek berkata, program Hidup Penuh Erti, Masyarakat Bebas Dadah itu amat bermakna bagi memastikan pencegahan dapat dilakukan dan memberi kesedaran kepada pelajar mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta bahan seumpamanya.

"Selain memberi kesedaran, objektif kita juga mahu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman supaya pelajar dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan dadah.

"Ini termasuk membina ketahanan dan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar daripada segi fizikal, emosi, mental dan rohani.

"Ini juga bagi membolehkan murid membentuk budaya dan tingkah laku positif dan mengamalkan nilai-nilai murni," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Biro Media dan Publisiti Pemadam Kebangsaan, Hashim Anang merangkap Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Karangkraf.

Hashim (kiri) menyampaikan Al-Quran wakaf kepada Pengetua SMK Simpang Renggam, Mazlan Sariyeo pada program Hidup Penuh Erti, Masyarakat Bebas Dadah di SMK Simpang Renggam, Kluang pada Ahad.
Hashim (kiri) menyampaikan Al-Quran wakaf kepada Pengetua SMK Simpang Renggam, Mazlan Sariyeo pada program Hidup Penuh Erti, Masyarakat Bebas Dadah di SMK Simpang Renggam, Kluang pada Ahad.

Artikel Berkaitan:


Hashim menyampaikan ceramah tentang bahaya dadah dan turut menyampaikan buku-buku serta 40 nashkah al-Quran wakaf yang digerakkan menerusi usaha Yayasan Warisan Ummah Ikhlas kepada Pengetua SMK Simpang Renggam, Mazlan Sariyeo.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, peranan keluarga terutama ibu bapa juga penting dan perlu bermula dari rumah dengan memberi lebih tumpuan kepada pelajar.

"Ibu bapa juga boleh didik anak mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan kenapa ia perlu dielakkan," kata beliau.

Sementara itu, Jaafar memberitahu, lebih 300 pelajar lelaki dan perempuan Tingkatan Lima sekolah berkenaan terlibat dalam program berkenaan.