JaPen ke sekolah beri kesedaran fenomena El-Nino

Pelajar-pelajar yang menghadiri program di Machang pada Ahad. (Gambar kecil: Muhd Nor Aswadi Md Nor)
Pelajar-pelajar yang menghadiri program di Machang pada Ahad. (Gambar kecil: Muhd Nor Aswadi Md Nor)
A
A
A

MACHANG - Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Kelantan akan turun padang ke sekolah-sekolah bagi memberi penerangan dan kesedaran berkaitan persediaan menghadapi fenomena El-Nino yang diramal berlaku bulan depan.

Pengarah JaPen Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor berkata, perkara itu dibincangkan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bagi mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk dilaksanakan.

“Sebarang maklumat berkaitan bagi menghadapi fenomena El-Nino akan dikongsikan untuk kebaikan semua.

“Selain pertemuan secara fizikal, JaPen juga menyampaikan maklumat berkaitan cuaca panas melampau ketika ini dan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh orang ramai menerusi platform media sosial seperti Facebook, WhatApps dan Instagram,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Demokrasi Kita @ Kelab Malaysiaku peringkat negeri Kelantan tahun 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang pada Ahad.

Menurutnya, JaPen juga terus melaksanakan hebahan awam melalui program Info On Wheels (IoW) ke kawasan kampung-kampung dengan menggunakan 10 van.

“Penting untuk masyarakat mengetahui keadaan semasa dan mendapat maklumat tepat berkaitan keadaan cuaca panas melampau bagi mengelak kejadian strok haba berulang.

“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai supaya minum air yang secukupnya dan dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih sahaja,” ujarnya.

Setakat ini, negara merekodkan dua kematian iaitu satu kes melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun akibat strok haba dan seorang bayi perempuan berusia setahun tujuh bulan kerana kelesuan haba.