Jokowi beri reaksi positif hasrat 10 syarikat Malaysia

Jokowi ketika membacakan kenyataan media bersama Anwar di Istana Bogor pada Isnin.
Jokowi ketika membacakan kenyataan media bersama Anwar di Istana Bogor pada Isnin.
A
A
A

JAWA BARAT - Hasrat 10 syarikat Malaysia untuk terlibat dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara di Kalimantan Timur mendapat reaksi positif daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).

Jokowi ketika menerima kunjungan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu berkata, beliau menyambut baik penyertaan syarikat Malaysia mengenai perkara tersebut.

"Saya menyambut baik minat para pelabur dalam pembangunan IKN Nusantara. Sebanyak 11 Surat Minat (LoI) oleh 10 syarikat Malaysia telah diserahkan kepada pihak berkuasa IKN.

"Melibatkan dalam bidang elektronik, kesihatan, pembinaan, hartanah dan lain-lain.

"Selain itu terdapat juga sejumlah memorandum persefahaman (MoU) dalam perkapalan, pembiayaan, eksport import, pembangunan industri dan lain-lain juga," ujarnya ketika membacakan kenyataan media bersama Anwar di Istana Bogor pada Isnin.

Pada sesi sama, kedua-dua pemimpin itu turut menyaksikan penyerahan LoI tersebut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Pengerusi Pihak Berkuasa IKN, Bambang Susantono.

Anwar pula menjelaskan, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dalam pembinaan Putrajaya dengan Indonesia berhubung pembangunan ibu kota baharu itu.

"Saya percaya syarikat-syarikat Malaysia mempunyai kepakaran bertaraf antarabangsa untuk bersama-sama membangunkan IKN Nusantara.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap pemerintah Indonesia dapat menyokong penyertaan syarikat-syarikat dari Malaysia," katanya.

Anwar meneruskan tradisi mengadakan lawatan rasmi pertama luar negara dengan berkunjung ke Indonesia selama dua hari bermula Ahad.

Acara kemuncak pada Isnin adalah pertemuan dua mata dengan Jokowi bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan dua negara dan mempertingkatkan hubungan kerjasama termasuk ekonomi.

Perdana Menteri dijadual menghadiri acara syarahan awam bertajuk Hubungan Strategik Malaysia Indonesia: Cabaran dan Harapan di Bank Mega Tower pada jam 3 petang ini.