Sambut baik lanjutan tempoh Kawasan Bebas Berniaga

Mohd Kholib
Mohd Kholib
A
A
A

ALOR SETAR – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah Cawangan Kota Setar menyambut baik keputusan Kedah melanjutkan tempoh pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga sehingga 31 Disember 2023.

Pengerusinya, Mohd Kholib Hamid berkata, ia memandangkan tempoh pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga di negeri ini sejak 2020 sepatutnya berakhir pada 31 Disember lepas.

Menurutnya, lanjutan tempoh selama setahun lagi menunjukkan suara peniaga supaya pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga boleh diteruskan mendapat perhatian.

"Sebelum ini, saya pernah meminta Kedah supaya mengkaji semula keputusan untuk menamatkan pelaksanaan Kawasan Bebas Berniaga yang akan berkuatkuasa pada 31 Disember 2022.

"Ia memandangkan pelaksanaan kawasan bebas niaga ini dilihat membantu meringankan bebanan peniaga apabila mereka dibenarkan menjalankan perniagaan mereka secara percuma di kawasan terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sehubungan itu, Mohd Kholib berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana mendengar keluh kesah peniaga, sekali gus melanjutkan tempoh Kawasan Bebas Berniaga itu.

"Jadi, saya berharap semua peniaga dapat mematuhi syarat ditetapkan termasuklah lesen perniagaan dari pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Antara lain, kata Mohd Kholib, beliau berharap pihak berkaitan dapat menyediakan lokasi strategik dan berpotensi bagi membolehkan peniaga terus berniaga untuk kelangsungan hidup.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berterima kasih kepada pihak seperti Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud kerana prihatin dan membantu peniaga

Sebelum ini, Kedah dilaporkan melanjutkan tempoh perlaksanaan Kawasan Bebas Berniaga yang berakhir hujung tahun ini sehingga 31 Disember 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa Kawasan Bebas Berniaga yang berpotensi juga telah dikenal pasti untuk dibangunkan.

Katanya, kawasan yang sesuai itu akan dinaik taraf menjadi pusat penjaja kecil yang sempurna dengan kemudahan lebih selesa kepada penjaja dan pelanggan.

Pada 2020, Kawasan Bebas Niaga diwujudkan bagi membantu meringankan beban peniaga ketika era Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan pandemik Covid-19.