RM300 juta sambung pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru

Azalina meninjau Pusat Khidmat Wakil Rakyat Pengerang yang dibuka pada Sabtu di Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi.
Azalina meninjau Pusat Khidmat Wakil Rakyat Pengerang yang dibuka pada Sabtu di Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru yang baharu di Kota Iskandar, Iskandar Puteri selepas tergendala sejak empat tahun lalu akan diteruskan semula dengan kos RM300 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kompleks mahkamah itu akan menempatkan beberapa Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

"Saya akan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk melihat semula tapak kompleks mahkamah itu yang sebelum ini dipilih ketika di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Dalam tiga atau empat minggu lagi, kita akan ke Johor Bahru dan menjemput Menteri Besar untuk melihat tapak Mahkamah Johor Bahru yang kita hendak pindahkan ke Iskandar Puteri. Saya harap bahagian undang-undang akan melaksanakan (pembinaan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Doa Selamat sempena Pelancaran Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan Klinik Bergerak Parlimen Pengerang di Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Azalina berkata, kajian penambahbaikan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 akan dilakukan bagi memperkukuh undang-undang tersebut sekali gus membela nasib golongan itu yang sering menjadi mangsa jenayah seksual dan penderaan.

Menurut Azalina, pihaknya akan melihat rangka akta berkenaan sebelum memberi fokus untuk membuat pindaan.

Katanya, ketika ini terdapat beberapa kelonggaran yang perlu dikemas kini bagi memastikan siasatan yang berkesan dan sensitif terhadap kes perundangan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Saya dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Hakim Negara bahawa mereka mahu memberikan fokus kepada kewujudan Mahkamah Kanak-Kanak yang memang ada dalam perbincangan sejak dari dulu.

"Mengenai akta berkenaan pula, ketika ini kita tengok terdapat beberapa kelonggaran yang perlu dikemas kini dan kita juga hendak kaji semula mengenai 'extraction of evidence' (pengambilan keterangan)," katanya

Azalina berkata, bagi mengukuhkan lagi kes perundangan kanak-kanak, Pesuruhjaya Kanak-kanak akan diberi kebebasan supaya dapat bergerak sendiri dan tidak lagi hanya di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tambahnya, cadangan itu sudah dipersetujui Perdana Menteri dan Kabinet sebelum dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong supaya peranan Pesuruhjaya Kanak-kanak itu dapat diperluaskan.

'Sekarang ini 'children commisioner' (Pesuruhjaya Kanak-kanak) adalah sebahagian daripada Suhakam. Kita harap mereka akan diberi kebebasan sebab isu kanak-kanak itu menyeluruh dan bukan dalam isu jenayah sahaja tetapi pelajaran, kesihatan dan keselamatan umum," katanya.