Nyawa parti politik adalah perpecahan: Mufti Perak

Wan Zahidi (kanan) ketika menjadi panel program Liqa' Fikri Bersama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah pada Jumaat.
Wan Zahidi (kanan) ketika menjadi panel program Liqa' Fikri Bersama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Larangan ahli politik untuk menyampaikan ucapan atau mengadakan akiviti di masjid dan surau di Perak dilaksanakan bagi memastikan umat Islam tidak berpecah belah.

Mufti Perak, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh berkata, kebanyakan parti politik hanya mementingkan perbezaan dan perkara itu boleh dilihat ketika pilihan raya.

Menurutnya, disebabkan itulah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan larangan aktiviti politik di rumah ibadat untuk memastikan masjid dan surau menjadi medan penyatuan umat Islam.

"Kalau kita melihat parti politik ini kehidupan atau nyawanya ialah menekankan perbezaan dan itu pasti dilalui oleh mana-mana masyarakat Muslim. Namun selesai pilihan raya kita kena kembali kepada asal usul umat ini, kita mesti bersatu padu.

"Jadi wadah yang paling sesuai sekali untuk bersatu-padu untuk melupakan perbezaan itu ialah masjid dan surau. Sebab itulah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menitahkan kerana nak memelihara perpaduan, merapatkan balik hubungan maka dilarang politik kepartian (di masjid dan surau)," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Liqa' Fikri Bersama Pengerusi Muzakarah MKI dan Mufti Perak di Auditorium Universiti Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada program itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Nooh Gadot sebagai panel manakala Felo Pengajian Islam Oxford dan Ahli Lembaga Pengarah USAS, Datuk Afifi Al-Akiti sebagai moderator.

Wan Zahidi berkata, perpaduan dalam kalangan umat Islam merupakan perkara yang paling asas perlu diutamakan malah diwasiatkan oleh Rasulullah SAW bahawa kesatuan dalam kalangan umat itu merupakan satu rahmat manakala perpecahan membawa kerosakan.

Katanya, Sultan atau pemerintah berperanan sebagai ulil amri yang menjadi tonggak kepada usaha memelihara perpaduan malah kewujudan ulil amri itu merupakan fardu kifayah.

Artikel Berkaitan:

"Di masjid dan surau, umat Islam hanya menumpukan pada benda yang bersama sahaja iaitu ibadat kepada ALLAH, berzikir, melakukan perkara-perkara yang diperintahkan syarak.

"Arena politik ini yang tidak dibenarkan dalam masjid ataupun surau itu ada hikmahnya dan ini tidak ada beza sama ada pihak kerajaan ataupun pembangkang kerana semuanya adalah rakyat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku," katanya.