Mampu urus diri walau serba kekurangan

Abd Hameed Uthman, 82, tinggal bersama anaknya, Hathijah Beevi Abd Hameed, 49.
Abd Hameed Uthman, 82, tinggal bersama anaknya, Hathijah Beevi Abd Hameed, 49.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Walaupun keadaan diri masing-masing serba kekurangan, namun seorang warga emas dan anaknya yang menghidap ketumbuhan di otak mampu berdikari dalam menguruskan segala keperluan harian mereka.

Abd Hameed Uthman, 82, tinggal bersama anaknya, Hathijah Beevi Abd Hameed, 49, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana di sini.

Warga emas itu menggunakan kerusi roda manakala anaknya yang menghadapi masalah pendengaran serta penglihatan kini bergantung sepenuhnya bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejumlah RM700 sebulan.

Menurut Abd Hameed, dia menghidap kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung selain sudah lebih dua tahun patah paha kanan akibat terjatuh.

"Kini saya hanya duduk di kerusi roda. Semua urusan harian termasuk mandi mampu saya lakukan sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya pada Khamis.

Mas Imran Adam (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan perkakas elektrik kepada Abd Hameed.
Mas Imran Adam (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan perkakas elektrik kepada Abd Hameed.

Terdahulu dua beranak itu dikunjungi Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan perkakas elektrik berjumlah RM1,000 kepada mereka.

Abd Hameed berkata, anaknya pula baru menjalani pembedahan tumor otak pada 26 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini dia pernah dua kali menjalani pembedahan membuang bendalir di otak di Hospital Sultanah Aminah (HSA). Lehernya juga terpaksa ditebuk bagi memudahkan pernafasan.

"Selepas pembedahan terakhir Hathijah yang berisiko pada bulan lalu, deria penglihatan dan pertuturan terjejas iaitu kurang jelas," katanya.

Dalam pada itu, Abd Hameed turut berharap dapat memiliki kad pengenalan sendiri untuk memudahkan bantuan diterimanya kerana sehingga kini masih tidak memiliki MyKad walaupun sudah pernah memohonnya lebih 10 tahun dahulu.

"Saya asalnya merupakan warga Singapura dan sudah tinggal di Johor lebih 40 tahun. Saya pernah memohon MyKad menerusi ejen tempatan lebih 10 tahun lalu.

"Saya yang sebelum ini berniaga di kedai makanan di Tampoi membayar RM18,000 kepada ejen itu tetapi telah ditipu.

"Ejen berkenaan menghilangkan diri bersama dokumen penting dari Singapura dan hanya ada satu salinan dokumen peribadi tetapi ini menyukarkan saya untuk mendapat MyKad dan pelbagai bantuan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Mas Imran berkata, bantuan disumbangkan pihaknya diharap dapat meringankan beban dua beranak berkenaan yang kini banyak dibantu penduduk setempat, rakan dan Persatuan Malabar Masai Muslim Jamaath.

"Bantuan ini kita berikan secara 'one off'. Kita harap akan ada lebih ramai memberikan sumbangan untuk keluarga ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Malabar Masai Muslim Jamaath, Basir Beran berkata, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dan beberapa sukarelawan sudah membantu keluarga berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sebelum mereka tinggal di PPR ini, mereka menyewa di sebuah rumah bersebelahan reban ayam yang tiada kemudahan elektrik dan bekalan air pula bermasalah.

"Kemudian kami usahakan mereka untuk berpundah sebelum menduduki PPR ini pada 2015," ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Hathijah dengan menghubungi talian 016-7719116.