Mahkamah tolak kebenaran merayu cabar permintaan PM bubar Parlimen

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Ahli Parlimen dan pengundi Pandan untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan bagi mencabar permintaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk P. Nallini dan bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mary Lim Thiam Suan, pada Khamis menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Syed Iskandar Syed Jaafar tanpa perintah mengenai kos.

Dalam menyampaikan keputusan mahkamah, Nallini berkata, PRU15 telah selesai dan kerajaan baharu ditubuhkan dan Parlimen telah bersidang.

Beliau berkata mahkamah terpaksa menggunakan budi bicaranya untuk mengekalkan bantahan awal oleh kerajaan, Ismail Sabri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, keadaan semasa kerajaan baharu tidak boleh wujud tanpa permintaan awal untuk pembubaran Parlimen, sambil menambah bahawa tidak mungkin untuk memisahkan keputusan daripada peristiwa yang bermula dan berlaku daripada permintaan pembubaran itu.

Dalam notis usul masing-masing memohon kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan, Santiago dan Syed Iskandar telah membangkitkan beberapa persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Kedua-dua mereka memfailkan tindakan undang-undang secara berasingan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen bagi membolehkan SPR mengadakan PRU15.

Bagaimanapun, pada 28 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak kes tersebut dan rayuan mereka juga turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 15 November tahun lalu, justeru mereka memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding dalam talian, Peguam Persekutuan Low Wen Zhen dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin mewakili Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan SPR, berhujah bahawa mahkamah tidak seharusnya memberikan kebenaran kerana perkara itu telah menjadi akademik.

Wen Zhen berkata, PRU15 telah diadakan dan keputusannya telah diumumkan serta diwartakan dan Yang di-Pertuan Agong telah melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 24 November, tahun lepas selepas Pernbincangan Khas Raja-Raja Melayu dan selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, mahkamah mendengar hujahan peguam Datuk Gopal Sri Ram dan Datuk Malik Imtiaz Sarwar masing-masing mewakili Syed Iskandar dan Santiago.

Sri Ram berhujah bahawa mahkamah perlu memberi kebenaran kerana persoalan undang-undang yang dicadangkan berkaitan sama ada permintaan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen adalah wajar.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan memberi panduan kepada penasihat undang-undang kepada kerajaan jika cabaran serupa berulang pada masa depan. - Bernama