Permohonan kebenaran merayu SIS Forum 21 Ogos ini

Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Ogos ini untuk mendengar permohonan SIS Forum untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam usaha membatalkan fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkannya sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Ogos ini untuk mendengar permohonan SIS Forum untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam usaha membatalkan fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkannya sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 21 Ogos ini untuk mendengar permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) (SIS Forum) untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam usaha membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkannya sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Tarikh itu disahkan oleh peguam SIS Forum, A Surendra Ananth dan peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), ketika dihubungi Bernama.

Pada 14 Mac lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan yang dikemukakan kumpulan hak wanita itu dan salah seorang pengasas bersamanya Zainah Mahfoozah Anwar untuk membatalkan fatwa itu.

Mahkamah Rayuan memutuskan fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha mereka di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa itu. Permohonan semakan kehakiman mereka telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Dalam kes sivil, pihak litigan perlu mendapatkan kebenaran sebelum boleh meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, telah mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Dalam notis usul memohon kebenaran itu, kumpulan berkenaan telah mengemukakan 10 persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalannya adalah sama ada fatwa, yang pernah dikeluarkan dalam Warta di bawah Seksyen 48(6), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, adalah satu bentuk undang-undang subsidiari dan/atau perundangan yang diwakilkan. - Bernama