Lupa sahur, sakit alasan 6 lelaki ditahan tidak berpuasa

JAINJ melakukan operasi Ramadan di sekitar Johor Bahru dan Tangkak. - Foto JAINJ
JAINJ melakukan operasi Ramadan di sekitar Johor Bahru dan Tangkak. - Foto JAINJ
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lupa bersahur dan sakit antara alasan diberikan enam lelaki beragama Islam yang ditahan dalam operasi Ramadan oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Kesemua yang ditahan dalam operasi antara jam 9 hingga 11 pagi di Tangkak dan Johor Bahru itu berusia antara 29 hingga 55 tahun.

"Di Johor Bahru, anggota penguat kuasa mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 40-an sedang minum teh tarik. Lelaki itu kelihatan panik sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.

"Lelaki yang tidak bekerja itu mendakwa mengalami masalah paru-paru dan batuk sehingga perlu minum pada siang hari, namun gagal mengemukakan sebarang surat pengesahan doktor.

"Malah, tindakannya sekadar berlakon batuk di hadapan penguatkuasa menimbulkan keraguan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, di meja sama seorang lagi lelaki berusia 50-an ditahan kerana minum kopi O panas dengan memberi alasan tidak bangun sahur akibat tersalah menetapkan jam penggera telefon.

"Penguatkuasa turut menahan seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan pemilik premis kerana membenarkan tiga lelaki Islam berkenaan makan di kedai miliknya.

"Lelaki itu mendakwa telah menegur pelanggan terbabit, namun tidak diendahkan dan mendakwa mereka baru sahaja duduk sebelum serbuan dilakukan," katanya.

Sementara itu, ketika serbuan di sebuah lagi kedai makan di Johor Bahru, penguatkuasa menemui seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30-an sedang makan nasi kandar lengkap dengan pelbagai lauk dan kuah, selain sebotol air mineral di hadapannya.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki yang merupakan peniaga dan jurukira kaunter itu mengaku lapar serta penat bekerja.

"Ketika operasi berlangsung, beberapa lelaki Islam lain dilihat bertempiaran melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa.

"Mereka dipercayai cuba membeli makanan secara bungkus namun bertindak berpatah balik ke kenderaan masing-masing," katanya lagi.

Sementara itu di Tangkak, kira-kira jam 9 pagi, seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 30-an ditahan ketika minum kopi O di sebuah kopitiam bukan Islam.

Kesemua individu ditahan di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

JAINJ menasihatkan umat Islam agar menghormati kesucian bulan Ramadan serta tidak mencemarinya dengan perbuatan makan, minum atau merokok di khalayak ramai.

Ringkasan AI

  • Enam lelaki beragama Islam ditahan dalam operasi Ramadan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor karena makan dan minum siang hari
  • Lelaki berusia 40-an ditahan kerana minum teh tarik, mengaku sakit tapi tidak dapat membuktikan dengan surat doktor
  • Seorang lagi ditahan kerana minum kopi dengan alasan terlepas sahur akibat salah tetap jam penggera
  • Pemilik premis, warga Indonesia turut ditahan kerana membenarkan mereka makan di kedainya
  • Semua individu yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!