Warga emas maut tersepit bawah lori

KEPALA BATAS – Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan dua buah motosikal berhampiran Masjid Ibadur Rahman, Taman Abdullah Fahim, di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.24 pagi itu, mangsa, Abdul Mutalib Che Mat, 63, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.24 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba di lokasi enam minit kemudian.
Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori dan dua buah motosikal.
“Setibanya di lokasi, terdapat seorang mangsa tersepit di bawah lori, manakala dua mangsa lain tidak tersepit.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas kebombaan, manakala anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan kira-kira jam 10.33 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
“Seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 61 tahun mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Sementara itu, pemandu lori yang berusia 59 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya lagi.
John berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dibawa oleh pihak KKM ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
“Operasi yang melibatkan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan satu unit EMRS tamat sepenuhnya pada jam 11.38 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian,” katanya.
Ringkasan AI
- Warga emas maut dalam kemalangan membabitkan lori dan dua motosikal berhampiran Masjid Ibadur Rahman
- Mangsa, Abdul Mutalib Che Mat meninggal dunia di lokasi kejadian
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 10.24 pagi
- Seorang lagi penunggang motosikal cedera dan dihantar ke hospital
- Operasi penyelamat tamat sepenuhnya pada jam 11.38 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

