Pelajar nyaris ditipu tawaran biasiswa tidak wujud

Hui Yuan (kiri) bersama Chai Hing ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu, pada Khamis.
Hui Yuan (kiri) bersama Chai Hing ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu, pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar tahun satu di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) nyaris menjadi mangsa penipuan dalam talian atau 'scammer' setelah ditawarkan wang biasiswa berjumlah RM4,000 oleh seorang individu melalui aplikasi Telegram.

Kong Hui Yuan, 20 berkata, dia dihubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Fatin' pada 23 Disember lalu dan ditawarkan pemberian biasiswa sebanyak RM4,000 yang kononnya akan diberikan pada setiap semester serta sebuah lap top untuk kegunaan belajar.

Hui Yuan berkata, Fatin memberitahu bantuan itu disalurkan oleh seorang lagi individu digelar 'Dr Syahira' namun dia perlu membayar pendahuluan sebanyak RM200 bagi membolehkan proses bayaran dibuat.

"Dr Syahira meminta saya memberikan butiran peribadi seperti nama penuh, nombor telefon, e-mel, alamat rumah, salinan kad pengenalan, nombor akaun bank serta gambar berukuran pasport.

"Selepas memberitahu permohonan biasiswa saya telah diluluskan saya diminta membayar wang pendahuluan sebanyak RM200 bagi proses pengurusan wang biasiswa itu," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.

Hui Yuan berkata, dia menyedari tawaran biasiswa itu tidak wujud setelah membuat carian mengenai tawaran sama di internet dan menemui status penafian melalui akaun Instagram pemilik nama sebenar (Dr Syahira) yang dikatakan akan menyalurkan bayaran biasiswa itu.

"Setelah terbaca status itu barulah saya tahu bahawa identiti Dr Syahira yang sebenar telah dicuri malah doktor berkenaan juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Melalui status yang dimuat naik, doktor berkenaan juga meminta agar mereka yang dihubungi tidak terjebak dan menyalurkan wang sebagaimana diminta," ujar pelajar berasal dari Sabah itu.

Menurut Hui Yuan, dia telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu berhubung penipuan itu serta menyalurkan maklumat berkaitan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk dipanjangkan kepada pihak universiti.

Pelajar jurusan Matematik Kewangan itu berkata, dia turut menerima ancaman daripada scammer tersebut selepas memuat naik status di media sosial mengatakan tawaran biasiswa itu palsu.

"Fatin dan 'Dr Syahira' ada menghubungi saya dan mengancam untuk menyebarkan dan menggunakan maklumat peribadi saya selepas mendapat tahu saya mendedahkan kegiatan haram mereka.

"Saya percaya terdapat beberapa lagi pelajar lain yang turut menerima mesej yang sama dan khuatir mereka menjadi sasaran seterusnya.

"Saya harap mereka yang menerima mesej yang sama tidak memanjangkan kepada individu lain supaya dapat mengelak lebih ramai yang menjadi mangsa penipuan," katanya.