Facebook Zoo Negara palsu dikesan, tawar peraduan tidak wujud

Pengguna diingatkan tidak terpedaya dengan akaun Facebook palsu Zoo Negara Malaysia yang diaktifkan untuk mengelirukan pengguna.
Pengguna diingatkan tidak terpedaya dengan akaun Facebook palsu Zoo Negara Malaysia yang diaktifkan untuk mengelirukan pengguna.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna diingatkan tidak terpedaya dengan akaun Facebook palsu Zoo Negara Malaysia yang diaktifkan untuk mengelirukan pengguna.

Menerusi kemas kini di Facebook rasmi, Zoo Negara memaklumkan, pihaknya mengesan akaun Facebook palsu itu telah menggunakan nama dan menganjurkan peraduan tidak wujud.

Menurut kenyataan itu, pihaknya menafikan akaun tersebut milik Zoo Negara dan tidak terlibat dalam peraduan yang dipaparkan di https://www.facebook.com/ZooNegaraMa/ tersebut.

"Baru-baru ini, terdapat satu akaun palsu menggunakan identiti Zoo Negara Malaysia. Mereka juga membuat pertandingan palsu di mana semua orang boleh memenangi tiket. Ini bukan kami.

"Buat laporan akaun ini dan hebahkan untuk elak lebih ramai terpedaya. Kongsikan hantaran ini supaya lebih ramai ambil tindakan sama," menurut perkongsian tersebut.

Akaun palsu tersebut kini memiliki 1,039 pengikut dan meletakkan pin peraduan menang empat tiket ke Zoo Negara kepada 10 pemenang bertuah.

Hantaran peraduan yang didakwa diadakan bersempena ulang tahun Zoo Negara telah dibuat pada 18 April lalu dan telah mendapat 8,400 tanda suka dengan 5,500 komen serta 658 kongsi.

.