Lebih RM53 juta kerugian akibat jenayah komersial di Pahang

Ramli menunjukkan 'report card' kes-kes jenayah dan pencegahan Polis Kontinjen Pahang yang dibacakan pada sidang akhbar di Bilik Media IPK Pahang pada Khamis.
Ramli menunjukkan 'report card' kes-kes jenayah dan pencegahan Polis Kontinjen Pahang yang dibacakan pada sidang akhbar di Bilik Media IPK Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menerima 10,786 laporan babit pelbagai kesalahan jenayah komersial dengan 2,052 kertas siasatan telah dibuka melibatkan nilai kerugian lebih RM53 juta sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah kertas siasatan dibuka, 993 kes atau 48.40 peratus telah dituduh di mahkamah.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Yoosuf berkata, penyumbang utama kes jenayah komersial tahun lalu adalah kesalahan tipu dalam talian yang mencatatkan 1,694 kes dengan jumlah kerugian RM34.7 juta.

Ramli menunjukkan kod QR yang disediakan bagi membolehkan orang ramai mengakses media sosial rasmi JSJK bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes penipuan.
Ramli menunjukkan kod QR yang disediakan bagi membolehkan orang ramai mengakses media sosial rasmi JSJK bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes penipuan.

Menurutnya, mangsa daripada sektor pendidikan dan peniaga mencatat jumlah paling tinggi, masing-masing 111 dan 196 kes, kebanyakannya wanita berusia antara 17 hingga 40 tahun.

"Dari segi kejayaan operasi dan sasaran tangkapan bagi tahun 2022 seperti kes jenayah siber, sasaran tangkapan tahunan adalah 408, namun Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang berjaya mencapai 543 tangkapan atau 133 peratus.

"Bagi lain-lain kes komersial, sasaran tangkapan ditetapkan 528 dan JSJK Pahang telah mencapai 726 tangkapan atau 137.5 peratus," katanya.

Ramli menunjukkan poster kempen kesedaran kes penipuan dalam talian untuk maklumat orang ramai bagi mengelak menjadi mangsa.
Ramli menunjukkan poster kempen kesedaran kes penipuan dalam talian untuk maklumat orang ramai bagi mengelak menjadi mangsa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena penyerahan 'Report Card' kes-kes jenayah dan pencegahan Polis Kontinjen Pahang di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.

Ramli berkata, bagi kes jenayah, Pahang merekodkan 1,886 jumlah jenayah indeks sepanjang tahun lalu iaitu penurunan 8.31 peratus berbanding 2,057 yang direkodkan tahun sebelumnya.

"Jenayah indeks kekerasan mencatatkan 397 kes, turun 4.11 peratus manakala jenayah harta benda juga turun 9.37 peratus kepada 1,489 kes berbanding 2021.

"Bagaimanapun, secara mikro, jenayah rogol mencatatkan peningkatan lima kes atau 4.42 peratus kepada 118 kes.

"Berdasarkan kajian, 75 kes berunsur paksaan dan 43 kes hubungan seks secara sukarela," ujarnya.

Menurutnya lagi, kajian juga menunjukkan seramai 84 mangsa melibatkan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dan 21 lagi berumur 17 tahun ke atas.

"Jenayah curi kereta meningkat sebanyak 20 kes kepada 89 kes berbanding tahun sebelumnya dan kebanyakan berlaku di kawasan luar bandar, kawasan perumahan dan pinggir jalan.

"Daripada keseluruhan jenayah indeks tahun lalu, sebanyak 996 kes atau 52.8 peratus berjaya diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, sepanjang tahun 2022, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang merekodkan 11,246 kes berkaitan pelbagai kesalahan dadah dengan 12,659 tangkapan dilakukan.

Menurutnya, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2021, dengan 9,199 kes direkodkan dan 10,547 tangkapan.

"Nilai rampasan pelbagai jenis dadah tahun lalu mencecah lebih RM31.7 juta manakala bagi tahun 2021, RM19.2 juta.

"JSJN Pahang membuka 11,142 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 dan daripada jumlah itu, 9,781 kertas siasatan berjaya diselesaikan dengan kadar 95 peratus bagi kes bekalan dan memiliki, sekali gus melepasi sasaran ditetapkan 90 peratus," jelasnya.

Pada sidang akhbarnya itu, Ramli turut berkongsi peningkatan statistik kes kemalangan secara keseluruhan di negeri Pahang sebanyak 7,412 atau 49.1 peratus kepada 22,512 kes tahun lalu berbanding 15,100 kes tahun 2021.

Menurutnya, peningkatan itu disebabkan perubahan status pandemik pada tahun 2021 kepada endemik pada 2022.

"Kemalangan maut meningkat 82 kes atau 26.4 peratus kepada 393 kes dengan jumlah kematian 447 kes tahun 2022 berbanding 311 kes (jumlah kematian 330 kes) tahun 2021.

"Jumlah kemalangan yang melibatkan cedera parah menurun sebanyak 32 kes kepada 245 kes tahun lalu berbanding 277 kes tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata, secara purata, terdapat 62 kemalangan dilaporkan setiap hari pada tahun 2022.

"Daerah Kuantan menyumbang kadar kemalangan tertinggi dengan 9,053 kes diikuti Bentong (3,261 kes), Temerloh (2,406 kes), Maran (1,253 kes), Pekan (1,238 kes), Rompin (1,063 kes), Raub (964 kes), Cameron Highlands (923 kes), Bera (906 kes), Lipis (851 kes) dan Jerantut (594 kes)," katanya.