Pahang gerakan Tafaquh Fiddin sehingga ke Mesir

Syed Ibrahim Syed Ahmad
Syed Ibrahim Syed Ahmad
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sudah menggerakkan program Tafaquh Fiddin (FTD) bukan sahaja di luar negeri ini sebaliknya sehingga ke Mesir.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, Yayasan Pahang (YP) mengembangkan program terbabit ke Kuala Lumpur dan Putrajaya menerusi jalinan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) seterusnya memperluaskan program sama ke peringkat antarabangsa di Mesir.

Menurutnya, program FTD yang diselaraskan oleh YP dilaksanakan secara percuma dan disertai 3,759 peserta sejak 2015 hingga 2022.

“Program ini diperkenalkan di Mesir pada awal tahun 2019 dan ia memberi manfaat kepada lebih 250 pelajar yang terdiri daripada anak-anak Pahang di Kaherah dan Mesir dengan memberi keutamaan kepada subjek-subjek teras yang merupakan silibus tetap para pelajar di Universiti Al-Azhar,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi milik pada Khamis.

Beliau berkata, program itu bertujuan menyediakan kemudahan bagi mempelajari ilmu pengajian Islam secara sistematik dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, ia melibatkan sebanyak 23 masjid seluruh Pahang dan pada awalnya hanya membabitkan empat masjid sahaja di daerah Kuantan, Pekan dan Bentong pada 2015.

Syed Ibrahim menambah, kerajaan Pahang bersungguh-sungguh menjalankan pelbagai program keagamaan dengan menggerakkan lebih 700 program takmir dan briged dakwah melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam, Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Mufti Pahang.

Tambahnya, sebelum ini telah berlangsung Majlis Konvokesyen Program Persijilan Pengajian Islam TFD Negeri Pahang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 120 peserta telah menerima sijil penyertaan mereka bagi program tahap 3 tahun 2021. Sijil telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Haji Abd Razak Abu Musa Saari dan turut dihadiri Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad Datuk Badli Shah Haji Alauddin bersama barisan tenaga pengajar program tersebut," ujar beliau.