'Sangat biadab, lucut kerakyatan individu hina Agong'

Dr Ahmad Shukri ( tengah, lima kanan) bersama ahli DIC Komited Malaysia membuat laporan polis di IPD Kuantan terhadap pengendali FB yang menghina Agong, hari ini.
A
A

KUANTAN- Kebiadaban pengendali Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang menghina Yang di-Pertuan Agong dengan hantaran gambar jelik melalui laman sosial baru-baru ini terus mendapat kecaman pelbagai pihak di negeri ini.

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam Pahang) dan NGO DIC Komited Malaysia kini tampil membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa menyiasat segera pengendali Facebook itu yang disifatkan sangat biadab dan tidak menghormati institusi diraja di negara ini.

Pengerusi Pemadam Pahang, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan dalam perlembagaan negara jelas meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak utama negara yang perlu dihormati dan disanjung tinggi bukannya dihina atau diperlekeh.

“Justeru kami tidak boleh terima perlakuan jelik ini kerana ia jelas satu provokasi yang sengaja mencetuskan kemarahan orang Melayu yang menjunjung tinggi prinsip perlembagaan,”katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap pengendali Facebook itu di Ibu pejabat Polis daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Kira-kira 30 ahli termasuk pimpinan DIC Komited Malaysia hadir memberi sokongan.

Dr Ahmad Shukri yang juga Penasihat Khas DIC Komited Malaysia berkata, pihak berkuasa khususnya pihak polis perlu menyiasat dan mengambil tindakan segara terhadap pelaku itu supaya kebiadaban terhadap institusi diraja tidak berulang.

“Individu ini selayaknya dilucutkan kewarganegaraannya dan sebagai orang Islam kita terus akan pertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya.