Utamakan bahasa Melayu

Gambar dari kiri: Teo Kok Seong, Nik Safiah Karim
Gambar dari kiri: Teo Kok Seong, Nik Safiah Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Bahasa Melayu perlu digunakan sebagai bahasa utama untuk urusan pejabat kerajaan dan semua urusan rasmi di kementerian kerana ia merupakan Bahasa Kebangsaan.

Felo utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, penggunaan bahasa Melayu tertakluk di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 iaitu Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

“Gerakan memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam kalangan agensi dan penjawat awam sentiasa diberi keutamaan paling tinggi.

“Pekeliling ini tidak hanya memperincikan peranan agensi dan penjawat awam dalam urusan rasmi dalam dan luar negara, bahkan turut menyatakan komitmen tinggi kerajaan untuk menguatkuasakan pemantauan pelaksanaannya melalui audit bahasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sesetengah agensi kerajaan termasuk kementerian yang tidak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam urusan rasmi termasuk kepada pihak media.

Sementara itu pakar bahasa Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berasa kesal kerana masih ada agensi kerajaan yang berdegil tidak mahu menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi.

“Kenyataan akhbar, hebahan dan sebagainya perlu dibuat dalam bahasa Melayu dahulu,” ujar beliau.

Jelasnya, kakitangan dan penjawat awam perlu mengutamakan Bahasa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum menyediakan kenyataan dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau Tamil untuk keperluan pihak tertentu.

Artikel Berkaitan: