'Syed Fawad sudah dihantar ke Pakistan Ogos lalu' - KDN

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan isteri kepada Syed Fawad merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam mencari suaminya yang hilang di Malaysia sejak 23 Ogos lalu. Gambar kecil: Saifuddin Nasution
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan isteri kepada Syed Fawad merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam mencari suaminya yang hilang di Malaysia sejak 23 Ogos lalu. Gambar kecil: Saifuddin Nasution
A
A
A

KAJANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Selasa mengesahkan telah mengekstradisi wartawan warga Pakistan, Syed Fawad Ali Shah sekali gus menjawab teka-teki kehilangannya sejak Ogos lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Syed Fawaz yang menetap di Malaysia sejak 10 tahun lalu telah dihantar pulang ke Islamabad, Pakistan selepas menerima permohonan menerusi saluran diplomatik kedua negara.

"Kerajaan Pakistan minta kita mengesan keberadaannya dan hantar dia pulang. Ini dilakukan melalui permohonan oleh kedutaan Pakistan kepada kerajaan (Malaysia) pada Ogos 2022.

"Bertindak atas permintaan berkenaan, kerajaan ketika itu telah kesan keberadaan Syed Fawaz dan seawal minggu ketiga bulan Ogos dia telah dihantar pulang ke Islamabad," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, di sini pada Selasa.

Saifuddin berkata, berdasarkan maklumat daripada kerajaan Pakistan, Syed Fawaz merupakan bekas anggota polis yang mempunyai masalah disiplin dan bukannya seorang wartawan seperti digembar-gemburkan oleh media tempatan.

"Itu sumber versi rasmi kerajaan Pakistan. Beliau bekas anggota polis yang ada beberapa kes disiplin tetapi beliau mempunyai keupayaan untuk menulis dengan baik.

"Jadi beliau banyak menegur dan mengkritik kerajaan menerusi penulisan dan akhirnya dianggap sebagai seorang wartawan," katanya.

Pada 30 Disember Sinar Harian melaporkan, isteri Syed Fawad merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam mencari suaminya yang hilang di Malaysia sejak 23 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syeda itu berkata, ini kerana terdapat pelbagai perkara yang mencurigakan berkaitan penghantaran pulang suaminya ke negara asal.

Sebelum ini, Syed Fawad mendakwa pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 2008 kerana menulis artikel berkaitan kehilangan paksa penduduk negara itu.

Pada 2010, beliau ditahan selama 18 hari dan disoal siasat oleh pegawai dikatakan perisik Pakistan dan kemudian dibebaskan dengan amaran agar berhenti menulis tentang orang hilang serta berhenti daripada bidang kewartawanan.

Syed Fawad datang ke Malaysia pada 2011 melalui Thailand dan kemudian diberi status pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).