Isteri wartawan Pakistan hilang rayu bantuan PM

Dari kiri, P Waytha dan Syeda semasa sidang akhbar pada Jumaat.
Dari kiri, P Waytha dan Syeda semasa sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Isteri kepada seorang wartawan Pakistan, Syed Fawad Ali Shah merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam mencari suaminya yang hilang di Malaysia sejak 23 Ogos lalu.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Syeda itu berkata, ini kerana terdapat pelbagai perkara yang mencurigakan berkaitan penghantaran pulang suaminya ke negara asal.

“Saya merayu kepada orang Malaysia dan semua pertubuhan kemanusiaan untuk membantu dalam apa jua cara yang mungkin.

“Saya sedang melalui fasa yang sangat kritikal dalam hidup. Saya meminta bantuan daripada Perdana Menteri untuk mencari suami saya,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Syed Fawad mendakwa pernah ditahan pihak berkuasa Pakistan pada 2008 kerana menulis artikel berkaitan kehilangan paksa penduduk negara itu.

Pada 2010, beliau ditahan selama 18 hari dan disoal siasat oleh pegawai dikatakan perisik Pakistan dan kemudian dibebaskan dengan amaran agar berhenti menulis tentang orang hilang serta berhenti daripada bidang kewartawanan.

Syed Fawad datang ke Malaysia pada 2011 melalui Thailand dan kemudian diberi status pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurut Syeda, dia tidak tahu di mana suaminya berada sejak 23 Ogos dan laporan polis telah dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Syeda, dia juga telah diminta untuk hadir ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya pada 23 Disember lalu untuk perkembangan perihal suaminya.

Dia turut melaporkan kehilangan suaminya kepada Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia, namun tiada bantuan diberikan.

“Mereka maklumkan bahawa suami saya pemegang kad UNHCR dan masuk ke Malaysia tidak menggunakan pasport. Oleh itu saya perlu berurusan dengan UNHCR,” katanya.

Selain itu, Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy menegaskan bahawa Malaysia perlu mendengar semua isu hak asasi manusia walaupun negara ini tidak menandatangani konvensyen pelarian.

“Sebagai peguam kami akan melakukan apa sahaja untuk membantu Syeda," katanya.