AMK kecewa tindakan KDN rampas buku

TYRA HANIM RAZALI
TYRA HANIM RAZALI
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) kecewa dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas buku dan bahan bacaan selepas menyerbu sebuah kedai buku di ibu negara pada Jumaat lalu.

Naib Ketua AMK, Tyra Hanim Razali berkata, rampasan bahan bacaan ilmiah yang tidak terdapat dalam senarai perintah larangan itu boleh disalahertikan sebagai suatu tindakan yang menekan kebebasan berkarya terutama bagi penulis tanah air.

"Menurut laporan portal Malaysiakini, anggota-anggota daripada KDN telah merampas buku-buku yang tidak tersenarai dalam senarai larangan.

"Ini bertentangan dengan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, yang menyatakan bahawa sebarang perintah oleh menteri untuk melarang penerbitan mesti diwartakan sebelum ia boleh mempunyai kuasa undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

KDN pada Jumaat lepas dilaporkan menyerbu kedai Toko Buku Rakyat di Wisma Central, Kuala Lumpur milik penulis Benz Ali dan merampas dua buku.

Benz Ali, atau nama sebenarnya Amir Hamzah Akal Ali, menyuarakan kekecewaan terhadap perkara itu apatah lagi menurutnya buku di kedainya tiada dalam senarai buku yang dilarang untuk dijual.

Justeru, Tyra Hanim memberitahu, rampasan itu juga merupakan suatu intimidasi terhadap penerbit buku alternatif dan kecil-kecilan di Malaysia.

"Rampasan ini memberi isyarat tidak sihat kepada masyarakat umum dan memberi peluang kepada pihak lawan dalam naratifnya yang menggambarkan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah sebuah Kerajaan Autoritarian.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan KDN ini juga akan menggugat ekpresi kesusasteraan yang akan merangsang perkembangan pemikiran Masyarakat Madani dalam perkembangan konsep yang boleh dipelajari daripada buku-buku seperti Marx Sang Pendidik Revolusioner dan Koleksi Puisi Masturbasi

"Jilid-jilid yang dirampas ini jika dikatakan subversif, namun judul seperti Mein Kampf tulisan Adolf Hitler yang mempromosikan ideologi politik Nazisme dijual berleluasa di banyak toko-toko buku seluruh Malaysia tanpa sebarang sekatan mahupun rampasan," tambahnya.

Tyra Hanim menegaskan, rampasan itu juga seperti memperlihatkan perbuatan pilih kasih atau ‘double standard’ terhadap perbahasan idea dalam kalangan masyarakat.

"Selayaknya, konsep pertentangan idea perlu dimaknai dalam Malaysia Madani dan tidak harus menjadi hanya janji manis atau ‘lip service’.

"Kerajaan tidak mampu untuk kehilangan dukungan para ilmuan dan aktivis intelektual dalam memacu visi membina peradaban dalam sistem kelolaan Malaysia Madani," ujarnya.