ADUN pembangkang di Pahang dakwa dianaktirikan

Nazri
Nazri
A
A
A

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini mendakwa dianaktirikan kerajaan Pahang kerana dendam politik.

ADUN Bukit Ibam, Nazri Ahmad mendakwa, kesemua mereka juga telah dinafikan hak sedangkan mereka wakil rakyat yang dipilih rakyat.

Menurutnya, episod dianaktirikan itu bermula selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pembentukan Kerajaan Perpaduan melalui parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Kami (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) telah dihalang untuk menyewa premis awam seperti dewan orang ramai, walaupun hanya untuk diadakan majlis kenduri kesyukuran.

"Malah, kerajaan Pahang dikatakan telah memberi arahan kepada agensi kerajaan agar tidak menerima kunjungan hormat daripada ADUN pembangkang di Pahang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin itu mendakwa, setakat ini peruntukan kerajaan Pahang untuk pembangunan setempat tidak disalurkan melalui ADUN PN.

"Jadi, kami masih menunggu adakah kerajaan Pahang tidak akan menyalurkan peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang apabila melantik ADUN caretaker di kawasan yang dimenangi pembangkang?" soal beliau.

Dalam pada itu, Nazri berkata, kerajaan Pahang perlu sedar, jika budaya buruk ini diteruskan, mereka sebenarnya sedang menggali lubang untuk menimbus kerajaan mereka sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Politik dendam hanya akan merosakkan hubungan, merugikan rakyat dan membabitkan kebenaran rakyat terhadap pelakunya," ujar beliau.

Sinar Harian pada September tahun lalu mendedahkan kesemua lapan ADUN daripada parti Pas yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sejak awal tahun 2022.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Pas, Rosli Abdul Jabar selepas Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadli Shaari mendedahkan isu tersebut menerusi hantaran di Facebook miliknya yang mendakwa ADUN Pas di Pahang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan Pahang yang diterajui UMNO.