ADUN Pas di Pahang tidak terima peruntukan sejak awal tahun

Rosli
Rosli
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Pas Pahang mengesahkan kesemua lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu sudah tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sejak awal tahun ini.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, bagaimanapun semua wakil rakyat Pas di negeri ini tetap kekal menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada pengundi di kawasan masing- masing.

"Sejak awal tahun 2022, kita tidak terima sebarang peruntukan tetapi kita kekal bersemangat menjalankan tugas," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadli Shaari menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin mendakwa ADUN Pas di Pahang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan negeri yang diterajui UMNO.

ADUN Pas di Pahang terdiri daripada Rosli yang merupakan ADUN Tanjung Lumpur; Andansura Rabu (Beserah); Mohd Tarmizi Yahya (Panching); Mohd Sufian Abdul Jalil (Luit); Mujiburahman Ishak (Chenor); Shahril Azman Abdul Halim (Jengka); Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (Tahan) dan Zuridan Daud (Damak).

Ahmad Fadli turut mengucapkan tahniah juga kepada ADUN Pas di Pahang yang masih terus bekerja dengan penuh komitmen walaupun tidak diberikan peruntukan oleh kerajaan negeri Pahang.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjelaskan keadaan berbeza dengan layanan diberikan kepada wakil rakyat UMNO di negeri-negeri diterajui Pas.

Menurutnya, kerajaan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah tetap memberi layanan baik kepada ADUN UMNO, termasuk menyalurkan peruntukan dan memberi jawatan dalam Exco Kerajaan Negeri.

Artikel Berkaitan: