PN perlu beri peruntukan kepada pembangkang di negeri

Kar Hing
Kar Hing
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berpendapat bahawa Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir beberapa buah negeri perlu memberikan peruntukan kepada pembangkang seperti gesaan yang dilakukan mereka terhadap kerajaan pusat.

Jelas beliau, ini bagi memastikan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang terlibat dapat menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat selain membangunkan kawasan mereka.

Kar Hing turut menyatakan bahawa beliau bersetuju terhadap gesaan yang dilakukan PN agar Kerajaan Perpaduan memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang.

“Saya sokong dan menyatakan hasrat dalam teks perbahasan iaitu saya menyokong 100 peratus (peruntukan untuk pembangkang).

“Tetapi pada masa yang sama, negeri-negeri yang dipegang oleh PN terutama di bawah Pas, kena beri layanan yang sama pada pembangkang di negeri masing-masing.

“Dia kena ada prinsip yang konsisten, tidak boleh mintak pusat macam ini, tetapi di negeri berlainan. Kalau ada persefahaman, saya rasa lebih baik,” semasa Wacana Sinar yang bertajuk Ketepikan Perbezaan Demi Perpaduan? yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator program.

Selain itu, mengulas mengenai Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang diadakan pada Ahad lalu, Kar Hing berkata, ia bukan semata-mata mengumpulkan 19 parti dalam dewan, tetapi ia adalah signal jelas kepada akar umbi bahawa perbalahan diakhiri dengan perdamaian.

Dalam masa sama, beliau turut berharap supaya setiap perbalahan atau permainan politik yang berlaku di antara kerajaan dan pembangkang dapat dihentikan seusai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka pada Julai depan tamat.

“Sebagai contoh, Kerajaan Perpaduan atau Pakatan Harapan (PH) ada pengalaman dalam menjalinkan hubungan dengan kerajaan yang ketika itu iaitu di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ia pada tahun 2021, kita tandatangan perjanjian persefahaman.

“Yang mana, hasil persefahaman itu adalah kita dapat membuat pindaan perlembagaan berkaitan MA63, pengundi 18, akta lompat parti, hadkan penggal Perdana Menteri.

“Maksudnya, kalau kita amalkan politik harmoni tanpa kacau bilau sepanjang jalan, saya rasa dia (kerajaan) akan menjalankan dengan lebih lancar dan efektif pentadbirannya,” ujarnya.