Cabaran tangani masalah kesihatan mental global

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

MENJELANG negara memasuki tahun 2023 ini, ramai yang telah membuka episod baharu dalam siri kehidupan mereka. Azam dan tekad baharu pada tahun 2023 itu pastinya seiring dengan perkembangan dan cabaran yang dihadapi oleh negara masa kini.

Permulaan tahun yang baharu itu turut memberi peluang kepada masyarakat untuk membawa suatu nilai dan aspek perubahan demi kebaikan diri mereka, keluarga serta sahabat-sahabat.

Namun begitu, realiti dunia masa kini, masih ada lagi rakyat yang berdepan dengan cabaran tekanan hidup sehingga terjejas dari segi emosi dan kesihatan diri.

Tekanan emosi boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira faktor umur dan boleh menjadi lebih buruk sekiranya tidak diberikan perhatian awal.

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada permasalahan tersebut seperti masalah kewangan, kos sara hidup, pekerjaan, persekitaran, kehilangan keluarga, penderaan, masalah sosial dan lain-lain.

Tentunya ramai beranggapan bahawa masalah kesihatan mental itu hanya berlaku pada orang dewasa sahaja iaitu bagi mereka yang berumur 21 tahun ke atas.

Tanggapan persepsi itu tidak benar sama sekali kerana golongan muda seperti remaja dan kanak-kanak juga tidak terlepas daripada masalah tekanan emosi, dan angka tersebut dijangka semakin meningkat dari masa ke semasa.

Pada 18 Jun lalu, laporan media memaklumkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata, hampir satu bilion penduduk dunia, termasuk berjuta kanak-kanak dan golongan muda, mengalami gangguan kesihatan mental dan kebanyakan mereka tidak mempunyai akses kepada rawatan.

Artikel Berkaitan:

Pada 29 Ogos lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati seorang daripada lapan remaja berusia 10 hingga 19 di negara ini berdepan dengan gangguan mental.

Ujar Noor Azmi, kajian sama juga mendapati seorang daripada 20 kanak-kanak berusia lima hingga sembilan tahun dipercayai menghadapi gangguan mental termasuk gangguan tumbesaran.

Beliau berkata, NHMS iaitu kajian yang dijalankan lima tahun sekali itu, mendapati ada kira-kira 424,000 kanak-kanak di negara ini berdepan masalah mental namun ramai yang tidak tampil mendapatkan bantuan.

Lebih membimbangkan lagi, apabila isu kesihatan mental itu diabaikan begitu sahaja, ia boleh membawa kepada peningkatan kes penyakit mental kronik seperti bipolar, skizofrenia serta kemurungan berpanjangan.

Malahan, mereka juga mungkin mengambil pendekatan yang lebih berisiko seperti bunuh diri dan mencederakan orang lain.

Belakangan ini, isu penderaan dalam keluarga semakin membimbangkan negara dan ia juga menjadi salah satu punca kepada tekanan emosi terhadap kanak-kanak.

Menurut informasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah, di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Bagaimana golongan muda hendak diangkat sebagai calon pemimpin dan tokoh-tokoh orang yang berjaya sekiranya perkembangan mereka dipengaruhi dan ditekan terutamanya oleh ahli keluarga mereka sendiri?

Ini juga menjadi antara cabaran besar kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membawa isu krisis kesihatan global ini dalam perbincangan bersama kementerian-kementerian yang terlibat khususnya Kementerian Kesihatan (KKM).

Dasar dan pelan tindakan daripada KKM serta agensi-agensi yang terlibat perlu merangkumi usaha memulihkan, merawat serta membendung masalah tersebut daripada berlaku.

Pada Jumaat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menambah baik dasar dan pelan tindakan kanak-kanak termasuklah menilai keperluan mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah yang terlibat dalam kes penderaan terhadap golongan itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, hukuman lebih berat perlu diambil ke atas individu yang bersalah dengan mengambil kira kesan mendalam dialami kanak-kanak yang didera itu.

Itu juga merupakan salah satu langkah baik daripada kementerian kerana dengan menguatkuasakan hukuman terhadap pesalah dalam kes penderaan, ia secara langsung juga membantu mengelakkan berlakunya tekanan emosi kepada kanak-kanak.

Ke hadapan tahun 2023, kerajaan diharap mampu mengurangkan masalah kesihatan mental bukan sahaja kepada golongan kanak-kanak malah kepada semua peringkat umur.

*Mukhriz Mat Husin ialah wartawan Sinar Harian