Rasuah Busters yakin siasatan telus isu saham Menara KL

TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL. - Foto Bernama
TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Isu sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) perlu dibuktikan melalui siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sekadar bermain persepsi semata-mata.

Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, beliau yakin dan percaya SPRM akan menjalankan siasatan dengan telus berhubung isu itu.

Justeru katanya, rakyat hanya perlu menunggu keputusan siasatan tanpa mengeluarkan sebarang persepsi negatif.

"Jika terdapat rasuah, pihak yang terlibat perlu dihukum mengikut undang- undang namun sekiranya tiada unsur tersebut nama mereka perlu dibersihkan.

"Kita juga bimbang perkara itu hanya persepsi semata-mata. Oleh itu, tunggu siasatan SPRM sebelum mengeluarkan apa- apa kenyataan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu SPRM memanggil tiga saksi untuk siasatan dakwaan penjualan saham mencurigakan pengurusan Menara Kuala Lumpur ( KL).

Isu penjualan saham dalam Menara KL Sdn Bhd telah dibangkitkan di media sosial.

Urus niaga itu mengundang perhatian kerana syarikat pengurusan itu dikatakan sangat menguntungkan, pada masa sama syarikat yang membeli saham TM tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau menegaskan, rakyat Malaysia perlu menghentikan sebarang persepsi dalam isu yang masih dalam siasatan itu kerana ia memberi kesan kepada sosial dan ekonomi negara.

"Persepsi yang salah terutamanya melibatkan rasuah akan meruntuhkan sosioekonomi negara. Kalau sudah runtuh hendak bangunkan semula sangat lambat.

"Jadi, kita sebagai rakyat cari dulu maklumat yang sahih sebelum membuat persepsi," jelasnya.