48 NGO gesa kerajaan, pembangkang meterai perjanjian rentas parti

SHAH ALAM - Sebanyak 48 organisasi masyarakat sivil menggesa kerajaan dan pembangkang memeterai perjanjian merentas parti bagi melengkapkan lapan reformasi utama dalam baki penggal Parlimen ke-15.
Dalam kenyataan media bersama pada Selasa, organisasi berkenaan berkata, gesaan itu bertujuan memastikan reformasi penting tidak tergendala akibat ketidaktentuan politik dan terdedah kepada pengaruh pihak tanpa mandat pilihan raya yang tidak mahu reformasi tersebut memperkasa pengundi Malaysia.
"Perjanjian ini bertujuan merintis jalan ke arah pengukuhan demokrasi berparlimen sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dan memulihkan keyakinan awam dan antarabangsa terhadap kestabilan politik serta akauntabiliti di Malaysia.
"Justeru, ia mesti merangkumi kepentingan Kerajaan Madani mahupun Perikatan Nasional (PN)," katanya.
Sehubungan itu, organisasi berkenaan juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berhubung secara terus dengan kepimpinan tertinggi PN bagi merealisasikan perjanjian yang melibatkan kesemua 218 Ahli Parlimen.
Menurutnya, lapan reformasi itu merangkumi had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Kebebasan Maklumat serta Akta Ombudsman.
Selain itu, cadangan lain termasuk Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama, Akta Pendanaan Politik berserta dana awam kepada parti politik, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab kepada Parlimen dan notis tiga bulan bagi pembubaran Parlimen.
"Empat reformasi pertama merupakan janji awal Perdana Menteri pada permulaan penggal pentadbirannya, manakala dua daripadanya memerlukan sokongan majoriti dua pertiga atau 148 undi bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.
"Had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun dapat memberi ruang kepada pembaharuan kepimpinan, selain mencegah penyalahgunaan kuasa dan politik dinasti.
"Pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pula penting bagi mengelakkan pendakwaan terpilih, kekebalan terpilih serta amalan masyarakat dua darjat," katanya.
Dalam pada itu, organisasi berkenaan berpandangan perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai Kerajaan bersama 13 Ahli Parlimen pada 29 Oktober lalu masih terlalu sempit skopnya dan bersifat transaksi.
Jelasnya lagi, pemberian CDF yang saksama kekal menjadi barang dagangan dalam rundingan dan bukannya mandat undang-undang.
"Kami menyokong gesaan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said supaya PN memeterai satu lagi CSA dengan Kerajaan Madani, namun skop perjanjian tersebut mestilah lebih luas dan turut merangkumi kepentingan sah pembangkang.
"Kami menyeru kepimpinan tertinggi PN untuk mempertimbangkan cadangan perjanjian merentas parti yang merangkumi lapan reformasi ini. Kami mengambil maklum pendirian PN bahawa Bersatu tidak mewakili Pembangkang.
"Kerana PN berada di posisi yang jauh lebih perkasa untuk menuntut perjanjian sebenar yang memberi manfaat kepada negara dan pembangkang," katanya.
Antara organisasi yang menyokong kenyataan bersama berkenaan ialah Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA), Bersih, Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), Pertubuhan Ikram Malaysia dan Rasuah Busters.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
