"Sepatutnya mak ayah saksi saya konvokesyen tapi saya saksi mereka masuk liang lahad" - Anak

Husna menunjukkan gambar kenangan kedua ibu bapanya.
Husna menunjukkan gambar kenangan kedua ibu bapanya.
A
A
A

YAN - "Hari ini sepatutnya mak ayah tengok saya di pentas konvokesyen tetapi saya yang kena tengok mereka masuk liang lahad.

Demikian luahan pilu Graduan Ijazah Sarjana Muda Logistik Perdagangan dan Pengedaran, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Husna Syakira Abd Halim, 23, apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan semasa dalam perjalanan untuk meraikan kejayaannya pada istiadat konvokesyen yang dijadualkan berlansung pada Selasa.

Lebih memilukan, abangnya, Muhammad Syazwan Hakimi, 28, sempat membuat panggilan video kira-kira 20 minit sebelum tragedi terbabit, menunjukkan keterujaan kedua-dua ibu bapanya untuk meraikan kejayaan Husna.

"Sebelum kejadian, abang call dalam pukul 1.20 petang, masa tu depa berenti kat Hentian Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa tanya makanan dah sedia ka atas meja, saya jawab baru nak pergi beli.

Jenazah pasangan suami isteri selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah pasangan suami isteri selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

"Dia halakan telefon kepada mak saya dan saya nampak muka mak saya bercahaya dan bersinar... Mereka gelak-gelak, itu last saya hubungi depa," katanya ketika ditemui di Masjid As Syakirin Singkir Laut selepas selesai pengebumian pada Selasa.

Dalam kejadian itu, Abd Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sarah Abd Rahman, 58, maut dalam kemalangan di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak pada Isnin sekitar jam 1.40 tengah hari manakala anak lelaki mereka parah selepas kereta pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabit kemalangan dengan bas persiaran yang membawa 30 penumpang.

Jelas Husna, semasa selesai membeli kasut untuk dipakai pada hari konvokesyen tersebut, dia menerima panggilan dari kakak memaklumkan kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Saya sewa homestay dan masa tu depa menuju ke homestay la. Semalam, ayah bawak kamera dia baru beli sebab nak record saya masa atas pentas terima ijazah tapi saya tengok kamera digital tu dah rosak dan patah.

"Mak sanggup belikan baju baru, kasut baru untuk tengok saya konvo tapi bila tengok ada kesan darah, saya sedih," katanya.

Dalam perkembangan sama, jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin sekitar jam 6 petang.

Jenazah pasangan suami isteri disembahyangkan di Masjid As Syakirin selepas Asar pada Selasa.
Jenazah pasangan suami isteri disembahyangkan di Masjid As Syakirin selepas Asar pada Selasa.

Sebelum itu, jenazah pasangan itu yang dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Gerik, Perak tiba di rumah mereka di Kampung Singkir Laut, di sini kira-kira jam 2 petang.

Sementara itu, anak mereka yang cedera dilaporkan kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.

Bagi meringankan beban mangsa, UMK menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan kebajikan kepada keluarga tersebut.

Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Mohd Badrul Hisyam Muhammad Alias berkata, pihak universiti memperuntukkan bantuan wang tunai RM2,000 kepada Husna Syakirah.

Menurutnya, bantuan berkenaan sudah pun diserahkan kepada pihak berkaitan bagi meringankan beban keluarga itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!