TM perjelas punca tidak sambung konsesi Menara KL

TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL. - Foto Bernama
TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Telekom Malaysia Bhd (TM) menjelaskan Menara KL (MKL) dimiliki oleh kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, syarikat telekomunikasi itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) telah melaksanakan konsesi berkenaan sejak 1996.

"Sebagai sebahagian daripada program transformasi, TM mahu menumpukan usaha dan sumber untuk mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi dan teknologi.

"Setelah membuat pertimbangan mengenai perubahan sifat perniagaan MKL (iaitu) daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan kepada kerajaan," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu TM turut menjelaskan, proses pemilihan untuk pemegang konsesi baharu pada 2022 telah dilakukan oleh kerajaan dan TM dimaklumkan mengenai syarikat yang dilantik bagi mengambil alih saham MKLSB dan konsesi MKL.

"MKLSB akan terus mengendalikan konsesi dan memastikan kesinambungan operasi MKL untuk rakyat Malaysia dan pengunjung antarabangsa.

"Pekerja akan kekal dengan MKLSB di bawah syarikat konsesi baharu bagi tempoh minimum tiga tahun untuk melindungi kebajikan mereka semasa peralihan tersebut," katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, rujukan telah dibuat berhubung perubahan dalam pegangan saham MKLSB pada pengumuman kewangan suku ketiga TM kepada Bursa Malaysia.

Artikel Berkaitan: