Menyamar penjual buah bergerak sebelum curi kereta

Anbalagan (tengah) menunjukkan peranti yang digunakan untuk mematikan sistem keselamatan kenderaan.
Anbalagan (tengah) menunjukkan peranti yang digunakan untuk mematikan sistem keselamatan kenderaan.
A
A
A

SERDANG - Taktik empat ahli sindiket curi kereta menyamar sebagai penjual buah bergerak sambil mencari sasaran terbongkar selepas kesemua mereka ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, sindiket yang dikenali sebagai Geng Harrier Putih itu menyasarkan pelbagai jenis kenderaan berdasarkan permintaan daripada pelanggan.

"Pada 24 Disember terdapat satu kejadian curi kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru di tepi Jalan Bandar Kinrara 3/1, Puchong.

"Hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Serdang berjaya menangkap empat orang suspek yang disyaki terlibat dalam kes ini," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini pada Jumaat.

Kenderaan dicuri yang berjaya ditemui semula.
Kenderaan dicuri yang berjaya ditemui semula.

Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati suspek pertama dan kedua bertindak sebagai 'striker' yang akan melarikan kenderaan disasar manakala suspek ketiga serta keempat berperanan untuk memantau keadaan sekitar.

Beliau berkata, mereka menyamar sebagai penjual buah bergerak untuk mencari sasaran.

"Mereka menyasarkan kenderaan yang diletakkan di luar kawasan perumahan dan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT) pada waktu siang.

Artikel Berkaitan:

"Geng ini memilih untuk membuat kerja pada waktu siang semasa pemilik kenderaan berkenaan meninggalkan kereta untuk ke tempat kerja.

"Hasil soal siasat kita dapati mereka menerima upah sekitar RM1,500 hingga RM2,000 bagi sebuah kereta," jelas beliau.

Tambahnya, setelah memilih sasaran, suspek yang bertindak sebagai 'striker' akan menggunakan peranti khas yang mampu melepasi sistem keselamatan seterusnya melarikan kenderaan ke tempat sunyi untuk mematikan sistem penggera dan alat pengesanan kedudukan global (GPS) pada kenderaan.

Katanya, polis masih memburu dalang utama atau 'mastermind' geng berkenaan yang akan berhubung dengan pemilik bengkel dan pelanggan yang berminat membeli kenderaan terbabit.

"Dalang ini dipercayai abang kandung kepada suspek pertama dan masih bebas. Dia akan berhubung mengaturkan dengan pelanggan yang berminat untuk membeli kereta berkenaan atau dijual secara lerai.

"Kita masih menyiasat berapa lama geng ini sudah mula aktif. Setakat ini kita percaya mereka terlibat dengan 15 kes curi kenderaan di sekitar Lembah Klang sepanjang tahun 2022," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati, suspek pertama sehingga ketiga mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau sejak dari tahun 2008.

"Kesemua lelaki berusia lingkungan 41 hingga 59 tahun berkenaan semuanya yang berasal dari Johor, direman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan, " ujar beliau.