Kes bunuh ibu tunggal: Kertas siasatan diserah kepada DPP

GEORGE TOWN - Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes pembunuhan seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni, Butterworth dan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut pada Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya kini menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selepas semua proses siasatan diselesaikan.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan sebelum ini masih direman bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan telah lengkap dan kita telah serahkan kertas siasatan kepada DPP pagi ini untuk arahan selanjutnya.
“Ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang warga asing masih dalam tahanan reman,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Advokasi dan Pelancaran Op Selamat 25/2026 Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pulau Pinang di Pasar Awam Jelutong, di sini pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan, reman tiga lelaki termasuk suspek utama yang disyaki membunuh seorang ibu tunggal di Sungai Dua, Butterworth pada Rabu minggu lalu disambung antara dua hingga lima hari lagi.
Majistret Balqis Roslin membenarkan seorang suspek etnik Rohingya direman dua hari hingga 13 Februari manakala reman dua lagi suspek warga tempatan disambung lima hari sehingga 16 Februari depan.
Terdahulu, seorang ibu tunggal ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah di tingkat satu sebuah flat.
Mangsa berusia 41 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.
Difahamkan, pihak polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 1.40 petang selepas jiran mendapati mangsa yang juga seorang ibu tunggal tidak memberikan sebarang respons walaupun pintu rumahnya terbuka, namun pagar jeriji didapati berkunci.
Mangsa dikatakan tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh termasuk mengenal pasti motif kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan terdapat kesan kelar pada leher mangsa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesan kelar tersebut dipercayai menggunakan senjata tajam pada bahagian leher.
Tambahnya, tiada kesan pergelutan menunjukkan mangsa berkemungkinan diserang oleh individu yang dikenalinya selain mangsa juga dipercayai diserang dari arah belakang.
Ringkasan AI
- Polis telah melengkapkan siasatan kes pembunuhan ibu tunggal di Flat Sri Murni, Butterworth dan menyerahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri
- Tiga suspek, dua lelaki tempatan dan seorang warga asing, masih direman
- Majistret membenarkan reman suspek etnik Rohingya dua hari dan dua suspek warga tempatan lima hari
- Mangsa berusia 41 tahun ditemui mati dengan kesan kelar di leher
- Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat, kesan kelar dipercayai menggunakan senjata tajam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

