Tidak wajar libatkan China kendali ECRL: Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar cadangan kerajaan PH untuk melibatkan China dalam urusan pengendalian Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) di negara ini.

Najib menegaskan, cadangan tersebut adalah tidak wajar kerana ianya melibatkan pengangkutan dalaman negara.

Menurutnya, rakyat Malaysia mempunyai kemampuan dan boleh mengendalikan seluruh sistem rail.

"Kita sebelum ini dalam proses untuk melatih para pekerja kita (mengendalikan ECRL).

"Rakyat Malaysia punyai kebolehan seperti Syarikat Prasarana Malaysia Berhad yang telah diberikan kontrak oleh kerajaan Arab Saudi untuk mengendalikan sistem Metro antara Minna ke Muzdalifah dan sebagainya," katanya yang ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini selepas selesai prosiding perbicaraan kes SRC International.

Najib berkata, beliau tidak nampak di mana perlunya penyertaan negara asing mengendalikan sistem rail dalam negara ini

"Ini juga melibatkan soal keselamatan sebab segala butiran dalaman negara akan diketahui pihak luar.

Sebaiknya mereka jadikan China sebagai syarikat kontraktor atau melantik mereka untuk beri nasihat teknikal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya Najib berkata, untuk China mengendalikan 50 peratus pengurusan ECRL atau apa juga prasarana rakyat adalah tidak wajar sama sekali.

Pada masa yang sama beliau bagaimanapun menyambut baik keputusan kerajaan PH meneruskan projek yang dirancang ketika zaman pentadbirannya itu

Najib berkata, kos yang dikatakan bermula dengan harga RM44 bilion itu melibatkan pengurangan stesen selain memansuhkan pembinaan terowong yang merentasi banjaran Titiwangsa.

"Ini menunjukkan bahawa dakwaan bahawa kos ECRL hanya RM29 bilion dan kononnya RM26 bilion digunakan untuk memulihkan 1MDB adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Bagaimanapun kata Najib, laluan baru yang mengelak daripada melalui Bentong dan banjaran Titiwangsa menyebabkan matlamat untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru dalam tempoh empat jam tidak akan dicapai.

"Ini kerana penumpang terpaksa menggunakan stesyen hub di Putrajaya dan laluan dari selatan dan ke utara menyebabkan tempoh perjalanan lebih panjang sejam atau dua jam lagi," katanya.

Najib berkata, dalam erti kata lain, tidak ada kelebihan antara penumpang menggunakan kenderaan seperti kereta berbanding menggunakan ECRL.

"Lagipun kita mahukan stesen di Gombak kerana mahu Gombak jadi hub perhubungan MRT.

"Cadangan kita utk menghubungkan ECRL dengan MRT 3 akan memberi kemudahan perhubungan yang jauh lebih selesa dan memudahkan perjalanan para penumpang," katanya.

Tambahnya, jika penumpang terpaksa ke Putrajaya, penumpang terpaksa menghadapi tambahan perjalanan.