Peguam didakwa ubah wang haram RM937,000

Tertuduh berdepan tujuh pertuduhan dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM937,000, lima tahun lalu. - Foto Bernama
Tertuduh berdepan tujuh pertuduhan dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM937,000, lima tahun lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas tujuh pertuduhan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM937,000, lima tahun lalu.

Mohd Zawahid Ya, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan cek berjumlah RM937,000 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik Tetuan Mohd Zawahid & Co ke beberapa akaun bank milik tertuduh, syarikat dan individu lain.

Kesalahan didakwa dilakukan CIMB Bank Berhad, cawangan The Strand, Petaling Jaya, di sini, pada 14 hingga 30 Ogos 2017.

Tertuduh selaku pemilik kepada Tetuan Mohd Zawahid & Co pada masa kesalahan itu dilakukan, didakwa bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) dan dibaca bersama perenggan 87(1)(a) akta sama.

Ia membawa hukuman penjara tidak melebihi lima 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kesemua pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Dir Kheizwan Kamarudin berkata, meskipun jumlah itu agak berat namun pihaknya menganggap ia adalah munasabah.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Emilia Kaswati membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 bagi kesemua pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

18 Januari tahun depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.