Bekas MB Perlis didakwa terima wang haram RM1.06 juta

Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta. - Foto Bernama
Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang didakwa atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis dua hari lalu, dituduh lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan kes menerima wang haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta pada Rabu.

Azlan, 64, yang hadir di mahkamah dengan memakai kemeja berbelang krim mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya faham (pertuduhan) dan tidak mengaku bersalah,” kata Azlan.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan wakil Aidil Travel, Abdul Rahim Halim.

Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga cek Maybank dan satu cek CIMB yang dibayar ke dua bank miliknya, serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, di sini pada 19 Februari 2014 hingga Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib sementara peguam, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili Azlan.

Semasa prosiding, Ahmad Akram mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

“Kesalahan dipertuduhkan dalam kategori tidak boleh dijamin dan ada undang-undang yang mengikatnya mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (APC).

“Bagaimanapun kita tidak membantah sekiranya mahkamah mengguna budi bicara untuk memberikan ikat jamin,” katanya.

Bagi makluman mahkamah, beliau berkata, pasport tertuduh telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Kangar sebagai syarat tambahan kes terbabit.

Katanya, pendakwaan akan membuat permohonan bagi kes di Kangar untuk dipindahkan ke Kuala Lumpur dan pada tarikh sebutan kelak, untuk permohonan perbicaraan bersama.

Sementara itu, Burhanudeen berkata, pembelaan tidak membantah cadangan jaminan dibuat pasukan pendakwaan.

“Kami sudah berbincang dengan pendakwaan sebelum perbicaraan dan bersetuju cadangan jaminan tersebut, kerana jumlah itu sama seperti jaminan di Kangar,” katanya.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin lalu, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis atas lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan kemudahan cuti seberang laut mencecah lebih RM1.185 juta.

Azlan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu.

Beliau yang juga Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.